Berita

DAP gesa Majlis Media ditubuhkan segera

GEORGE TOWN, 3 APRIL: Selepas tindakan polis menahan lima kakitangan The Malaysian Insider (TMI) minggu lalu, sudah tiba masannya Majlis Media ditubuhkan demi menangani laporan media dan kelakuan wartawan, kata Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik.

Dalam satu kenyataan Wei Aik berkata, Majlis Media tersebut bertujuan menangani aduan orang ramai mengenai laporan media, kelakuan serta tatatertib wartawan di Malaysia.

“Idea penubuhan Majlis Media ini telah diilhamkan pada tahun 1973 ketika pemerintahan Tun Abdul Razak (Perdana Menteri ketika itu) tetapi ia gagal dilaksanakan.

“Najib Tun Razak mesti membantu bapanya bagi mencapai misi itu tanpa memburukkan lagi kebebasan media di negara kita,” katanya yang turut mengutuk tangkapan sewenang-wenangnya keatas lima wartawan TMI.

Lima wartawan TMI dan The Edge Weekly Business yang dimiliki The Edge Media Groups ditahan oleh pihak polis 31 Mac lalu berhubung laporan berita mengenai penolakan Majlis Raja-Raja Melayu terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan.

Tiga daripadanya iaitu Amin Iskandar, Zulkifli Sulong dan Lionel Morais dibebaskan selepas dilokap semalaman di IPD Dang Wangi.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif TMI Jahabar Sadiq dan penerbit The Edge, Ho Kay Tat pula dibebaskan setelah pihak polis enggan membuat permohonan reman.

Dalam pada itu Wei Aik berkata, Kementerian Dalam Negeri pada 1999 pernah meminta Institut Akhbar Malaysia (MPI) mengkaji penubuhan Majlis Media selepas menerima memorandum pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dari 1,000 wartawan.

Katanya, MPI kemudiannya membentuk jawatankuasa dengan langkah awal termasuk tinjauan di kalangan editor dan pihak berkaitan berhubung penubuhan Majlis Media.

“93.3 peratus daripada responden menyatakan bahawa Majlis Media perlu ditubuhkan dan ia merupakan petunjuk yang cukup jelas.

“Tapi apakah status mengenai penubuhan Majlis Media ini?” soal Wei Aik yang juga bekas wartawan Nanyang Siang Pau. – Roketkini.com