Berita

GST: DAP desak Kastam henti ganggu peniaga kecil

KLUANG, 3 APRIL: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kucar-kacir bertambah buruk apabila beberapa pegawai kastam didapati memeriksa peniaga kecil secara kasar dengan niat mencari kesalahan.

Kejadian itu diberitahu oleh Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong ketika membuat lawatan ke kedai di sekitar daerah Kluang.

Chin Tong berkata, kejadian lebih kurang sama juga berlaku di Sabah apabila beliau dimaklumkan serbuan oleh kastam pada jam 1 pagi pada 1 April lalu di beberapa restoran di Likas.

“GST adalah beban yang meningkatkan kos urusniaga yang mana menyebabkan banyak perniagaan kecil tidak layak beroperasi lagi.

“Dengan bersenjatakan naratif ‘perniagaan untung’, pegawai kastam sibuk ganggu perniagaan kecil sejak 1 April.

“Ini mesti dihentikan,”tegas Chin Tong.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu turut menambah, terdapat dua mitos cuba ditanam di sebalik perbuatan kasar itu dengan tujuan menyembunyikan fakta bahawa rakyat telah mengetahui bahawa GST akan meningkatkan kos dalam semua perkara.

“Pertama kerajaan kata, selepas GST akan ada penurunan harga barang kerana sudah tidak ada lagi cukai jualan (SST).

“Kedua, jika ada kenaikan harga, itu disebabkan peniaga yang keras kepala yang cuba membuat untung lebih dan tiada kaitan dengan GST.

“Faktanya rakyat sudah tahu bahawa GST akan menyebabkan semua bidang mencatat kenaikan kos,” jelas Chin Tong.

Justeru itu ujarnya, tidak wajar kerajaan mengganggu perniagaan kecil sehingga kekeliruan terhadap Senarai Barang Bercukai dan Tidak Bercukai yang diterbitkan Kastam 2 Januari lalu dijelaskan.

Ini kerana perubahan terbaru terhadap senarai sifar cukai yang diterbitkan 27 Mac lalu mempunyai senarai lebih panjang.

“Perubahan saat akhir menimbulkan kesukaran. Atas dasar ini sahaja, Kementerian Kewangan sepatutnya menghentikan aktiviti penguatkuasaan sehingga semua kekeliruan dirungkai.

“Syarikat besar seperti 7-Eleven pun membuat kesilapan mengenakan GST terhadap akhbar.

“Ini menunjukkan bahawa perniagaan kecil lebih perlu dibimbing, bukannya serbuan agresif.

“Saya menyeru Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Kastam menghentikan semua aktiviti penguatkuasaan dan memberi tumpuan membimbing perniagaan kecil bagi menyesuaikan diri dengan sistem GST,” ujar Chin Tong.-Roketkini.com