Berita

Jurang pendapatan luas, tiada keadilan ekonomi punca GST tidak efektif – Tony Pua

PETALING JAYA, 3 APRIL: Sikap kerajaan yang tidak peduli kepada rakyat berpendapatan rendah dalam pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menggagalkan cukai yang efektif..

Namun pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berdegil untuk terus melaksanakan cukai tersebut dan enggan mendengar suara rakyat kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua.

“GST sebenarnya adalah cukai yang efisien dan sangat efektif dibanding SST (cukai jualan dan perkhidmatan). Kerana itu Malaysia mahu laksanakan sistem GST kerana sistem cukai secara terusnya.

“Namun, Najib gagal menyedari bahawa GST yang cekap adalah predikat kepada kesederhanaan dan kesejagatan,”ujar Tony.

Ujarnya, pendapatan rendah, ketidakadilan ekonomi ditambah kekeliruan rakyat menyebabkan GST gagal dilaksanakan.

Natijahnya kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, menyebabkan kerajaan terpaksa memanjangkan senarai barangan sifar GST.

“Senarai barangan sifar GST Malaysia adalah antara yang paling panjang di dunia.

“Senarai panjang barangan itu sebenarnya membuktikan bahawa Malaysia tidak bersedia bagi pelaksanaan GST.

“Kita berdepan dengan jurang pendapatan luas dan 80 peratus populasi tidak memiliki gaji yang membolehkan mereka membayar cukai pendapatan pun,” kata Tony.

Justeru itu, Tony menyeru kerajaan untuk menyelesaikan isu utama yang menjadi akar permasalahan sistem GST.

“Kerajaan harus menumpukan isu pendapatan rendah terlebih dahulu sebelum beralih kepada sistem GST.

“Kalaulah rakyat Malaysia mencapai status pendapatan lebih tinggi dan ketidaksamaan pendapatan lebih rendah, kita tidak perlu melaksanakan sistem GST yang penuh dengan komplikasi pengecualian,” ujar Tony lagi. – Roketkini.com