Berita

KDN perlu bertindak terhadap isu perkauman tanpa pilih kasih – Ramkarpal

BUKIT GELUGOR, 3 APRIL: DAP mencabar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi untuk mengambil tindakan terhadap beberapa personaliti UMNO yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, ini kerana jawapan Zahid di Parlimen jelas menunjukkan kerajaan memandang serius terhadap sebarang tindakan atau kenyataan yang berbaur perkauman dan hasutan.

“Saya cabar Zahid pastikan ada tindakan ke atas beberapa personaliti di bawah Akta Hasutan atau apa-apa undang-undang yang bersesuaian bagi menangani perkauman,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.

Ujarnya, antara individu terbabit termasuklah Menteri Pertanian dan Asas Tani Ismail Sabri Yaacob yang sebelum ini menyeru orang Melayu memboikot peniaga Cina.

Antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Mashitah Ibrahim yang mendakwa seorang lelaki Cina membakar Al-Quran di perhimpunan Agung UMNO, ADUN Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin yang mengatakan tiga orang doktor tidak mahu merawat pesakit Melayu.

Selain itu wakil UMNO Permatang Pauh Datuk Zaidi Said mendakwa orang Cina di Pulau Pinang mendapat kuasa politik dari aktiviti haram, dan akhbar Utusan Malaysia menerbitkan berita dengan tajuk ‘Apa lagi orang Cina mahu? selepas pilihanraya umum ke-13.

“Kenyataan dari pihak terbabit jelas boleh mengapi-apikan sentimen perkauman dalam negara yang terkenal sebagai model jamak budaya.

“Kerajaan mesti berpendirian tegas terhadap isu perkauman, seperti yang ditekankan Menteri Dalam Negeri dalam jawapannya di Parlimen.

“Beliau mesti mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan tidak sensitif, tanpa mengira apa pandangan politik mereka,” tegas Ramkarpal. – Roketkini.com