Berita

Kenapa tepung bersubsidi 1Malaysia dijual di Singapura?

(Kiri) Tepung gandum bersubsidi dijual di Malaysia pada harga RM1.35 (RM0.55 subsidi)
(Kanan) Tepung bersubsidi 1Malaysia yang dijual di Singapura pada harga SGD2.20 (RM5.94)

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) perlu menyiasat tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang menjual tepung 1Malaysia bersubsidi kepada negara jiran Singapura pada harga empat kali ganda.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, pihaknya menerima bukti bergambar menunjukkan bahawa tepung dengan jenama ‘Blue Key’ dijual di Singapura pada harga SGD2.20.

“SGD2.20 ini bersamaan dengan RM5.94, atau lebih empat kali ganda dari harga di Malaysia.

“Kami juga mendapati paket tepung itu mempunyai cap harga dan subsidi yang dibayar dalam ringgit.

“Kami menyeru KPDNKK yang diamanahkan RM150 juta setahun untuk menguruskan program tepung bersubsidi bagi menyiasat perkara ini dengan segera.

“Pada 2014, satu anggaran RM185 juta telah dibelanjakan oleh KPDNKK dan RM150 juta untuk tahun ini.

“Untuk setiap paket tepung yang dijual pada harga RM1.35, kerajaan membayar RM0.55 sen sebagai subsidi,” kenyataan bersama dipetik.

Kementerian sama turut digesa menjelaskan sama ada terdapat kelemahan dalam pengagihan tepung subsidi kepada pengilang dan penjual yang menyebabkan penjulannya di luar negara.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertanggungjawab ke atas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu menjelaskan bagaimana barangan makanan bersubsidi boleh menembusi sempadan dengan begitu mudah,” tegasnya. – Roketkini.com