Berita

DAP rakam ucapan takziah buat keluarga Anwar Ibrahim dan Jamaluddin Jarjis

KUALA LUMPUR, 5 APR: DAP merakam ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam buat keluarga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pemergian bapanya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman ke Rahmatullah.

DAP turut merakam ucapan takziah kepada keluarga Tan Seri Jamaluddin Jarjis, Ahli Parlimen Rompin, Pahang yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Semenyih, semalam.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam perutusan takziahnya menyifatkan pemergian kedua-dua tokoh ini sebagai kehilangan besar kepada negara.

“Keazaman kuat, ketahanan dalam masa kesakitan, kesedihan dan derita, tidak ada kedudukan atau kemewahan mana pun yang mampu diberikan.

“Saya amat sedih dengan berita kematian Datuk Ibrahim Abdul Rahman, seorang anak kebanggaan Pulau Pinang yang juga bapa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tiada siapa yang dapat membayangkan kesakitan Anwar menghadapi kematian orang-orang tersayang ketika dalam penjara. Ibu Anwar, Che Yan meninggal dunia pada 2001 ketika beliau menjalani hukuman penjara pertamanya.

“(Terdahulu) Anwar dihalang daripada menghadiri pengebumian dua rakan politik paling rapat, iaitu Datuk Fadzil Noor dan Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada Jun 2002 dan 12 Februari 2015. Pada kedua-dua keadaan, dia berada di penjara.

“(Kini) amat tragis bahawa Anwar kehilangan ibu dan bapanya dalam keadaan beliau di penjara,” kata Guan Eng dalam perutusannya.

“Bagi pihak kedua-dua kerajaan negeri Pulau Pinang dan DAP, kami marakamkan ucapan takziah kami kepada Datuk ‘Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah dan keluarga atas kehilangan mereka,” kata Guan Eng.

Allahyahram Datuk Ibrahim Abdul Rahman merupakan ahli Parlimen Seberang Perai Tengah dari 1959 hingga 1969. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Guan Eng bagi pihak DAP turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Seri Jamaluddin Jarjis, yang mana menurutnya pemergiannya tersebut mengejutkan negara.

“Sepanjang 25 tahun dalam kerjaya Parlimen sejak 1990, beliau mengetuai pelbagai syarikat berkaitan kerajaan seperti Tenaga Nasional Berhad dan PR1MA.

“Jamaluddin Jarjis memegang tiga portfolio menteri berbeza, dan banyak masa dihabiskan di bahagian dasar luar, sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dengan pangkat menteri.

“Latar diri Jamaluddin pastinya dicemburui ramai rakan-rakan parlimennya. Mungkin peranan yang paling penting adalah untuk berkhidmat sebagai operator politik yang paling dipercayai Perdana Menteri Datuk ‘Seri Najib Razak, sebagai ketua strategis.

“Walaupun dia adalah Ketua Strategi Najib, dia memiliki hati untuk semua, termasuk pembangkang. Saya akan sentiasa mengingati beliau sebagai seorang yang sentiasa tersenyum, dan bersedia untuk berunding untuk menjalin kompromi.

“Kita boleh bersaing dalam politik, namun kita tidak pernah meragui kesetiaan masing-masing, demi Malaysia dan bersedia mengadakan wacana mesra dan berhujah secara waras.

“Sebagai rakan ahli parlimen dan bagi pihak DAP, saya merakamkan takziah tidak terhingga kepada keluarganya, dan juga keluarga penumpang lain dalam helikopter malang itu, ” kata Guan Eng.

Allahyarham Tan Seri Jamaluddin Jarjis merupakan Ahli Parlimen Rompin (1990-2015), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Menteri Kewangan Kedua, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat.

Jamaluddin meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, serta tiga anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.

Helikopter malang yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih pada jam 4.55 petang semalam.

Turut terkorban ialah Datuk Azlin Alias, ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Manaka empat lagi ialah Datuk Tan Huat Seang, juruterbang kapten Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran. – Roketkini.com