Berita

“KPN perlu dedah nama pegawai polis yang bertemu Sirul di Australia”

KUALA LUMPUR, 5 APR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu mendedahkan nama pegawai polis yang dikatakan dihantar ke Sydney untuk menemui Sirul Azhar Umar bagi membuktikan bekas komando polis itu salah dan berbohong.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ini kerana Khalid dalam kenyataannya hanya menepis pendedahan dengan mengatakan bahawa Sirul yang kini telah disabitkan dijatuhi hukuman mati dan menjadi tahanan imigresen di Australia sebagai ‘terdesak’.

“Itu tidak bermakna bahawa Sirul tidak bercakap benar, bahawa dia bertindak bersama Azilah Hadri mengikut arahan membunuh Altantuya dan meletupkan tubuhnya dengan bahan letupan C4.

“Tambahan pula, Khalid tidak menyangkal dakwaan Sirul bahawa wujudnya pegawai polis menyoalsiasat Sirul selepas bekas komando polis itu melarikan diri ke Australia,” kata Kit Siang dalam satu kenyatannya hari ini.

Sirul Azhar Umar dalam wawancaranya bersama Malaysiakini semalam menyangkal kenyataan Khalid yang kononnya telah menghantar pegawai polis ke Australia untuk bertemu dengannya.

Kata Sirul, beliau sukar tidur berikutan kenyataan IGP itu yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

Manakala Khalid dalam reaksinya menafikan dakwaan Sirul, dan menuduhnya berbohong mengenai siasatan kes pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Sebaliknya, Khalid menganggap Sirul seorang yang terdesak dan mencabar SIrul yang mendakwa dia diarahkan untuk membunuh Altantuya agar mendedahkan segala-galanya.

Khalid menambah, Sirul bertindak demikian bagi menyelamatkan nyawanya untuk tidak dibawa pulang ke Malaysia di mana dia akan menghadapi hukuman mati.

Justeru itu, Kit Siang mencadangkan Khalid mengukuhkan hujahnya dengan menamakan pegawai polis, dan tarikh pertemuan dengan Sirul di pusat tahanan imigresen Villawood, Sydney.

“Jika KPN tidak berbuat demikian, pendapat umum akan berada pada pihak Sirul, bahawa beliau (Khalid) telah berbohong tentang pertemuan polis dengan Sirul di Villawood.

“Masih belum terlamat. Kini adalah masa kepada KPN untuk menjelaskan, mengapa beliau terpaksa mengambil jalan keluar dengan cara ‘berbohong’, sindir Kit Siang. – Roketkini.com