Berita

DAP mohon kerajaan Johor kuatkuasa segera kawasan tadahan air

KLUANG, 6 APRIL: DAP menyambut baik cadangan kerajaan Johor menguatkuasa dan memulihkan kawasan tadahan air di negeri ini agar sentiasa bebas dari masalah yang memudaratkan rakyat.

ADUN Mengkibol Tan Hong Pin berkata, langkah tersebut adalah wajar walaupun terlewat dan ia harus dijadikan agenda mustahak yang perlu disegerakan berikutan banyak sumber air Johor kini mengalami pencemaran.

“Penguatkuasaan dan pemulihan kawasan tadahan air harus dimulakan dengan segera agar sumber air kita akan sentiasa terjamin,” kata Hong Pin dalam satu kenyataan.

Menurut Hong Pin, antara kawasan yang kini terjejas teruk adalah di Empangan Sembrong yang merupakan sumber air utama kepada 200,000 penduduk di Kluang.

“Empangan Sembrong kini mati perlahan-lahan (slowly dying) seperti yang dilaporkan dalam muka depan akhbar The Star pada 17 Mac 2015 lalu.

“Masalah ini telah banyak kali menjejaskan kualiti air terawat, daripada loji penapisan air sehingga penduduk sering kali mendapat bekalan air paip yang keruh dan berbau,” ujarnya.

Tegas Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) itu, hampir setiap tahun penduduk Kluang dihantui masalah gangguan bekalan air.

“Baru-baru ini, kami mengalami catuan air berjadual selama sebulan disebabkan produktiviti Loji Rawatan Air Sembrong Timur yang merosot satu pertiga daripada kira-kira 30 juta liter sehari (MLD) ke lebih kurang 20 MLD.

“Perkara ini disebabkan paras air di Sungai Sembrong yang menjadi sumber air mentah loji terbabit telah turun ke paras kritikal ekoran musim kemarau selama dua bulan.

“Masalah kemerosotan paras air ini jelas berpunca dari pemantauan yang tidak mantap oleh pihak kerajaan,” katanya.

Tambahnya, pada 2 April lalu, rakyat Johor dikejutkan dengan kejadian bekalan air terputus akibat penutupan loji rawatan Semangar berikutan tumpahan minyak diesel.

Ia dipercayai berpunca dari tumpahan diesel dari sebuah kilang yang beroperasi berhampiran hulu Sungai Semangar. – Roketkini.com