Berita

Pakatan Rakyat lancar kempen Bantah GST, sasar sejuta tandatangan petisyen

KUALA LUMPUR, 6 APR: Pakatan Rakyat hari ini melancarkan kempen Bantah GST dengan tema, ‘Bantah Cukai Rakus, Golongan Susah Tertindas!’ dengan menyasarkan sejuta petisyen yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataan bersama ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini, makluman akar umbi menunjukkan bahawa akyat sangat tertekan dengan cukai GST kerana hampir kesemua harga barangan keperluan naik mendadak.

Kandungan empat perkara yang digariskan bahawa GST adalah cukai regresif yang menindas golongan susah, pendapatan isi keluarga belum mencapai tahap memuaskan untuk pelaksanaan GST, beban keatas peniaga dengan kos dan kerumitan perlaksanaan, selain isu rasuah, pemborosan dan penyelewengan yang masih belum diselesaikan.

“Tujuan petisyen rakyat ini dilancarkan adalah untuk menghantar mesej secara jelas kepada Perdana Menteri Malaysia bahawa beliau harus membatalkan cukai GST.

“Kami menyasarkan 200,000 bantahan menjelang 1 Mei 2015. Kemudian berperingkat-peringkat mencapai satu juta. Kalau suara rakyat kuat, rakyat berkuasa.

“Kempen ini adalah kempen bersiri, dalam dua hingga tiga minggu akan datang, kita akan melancarkan kempen mengikut siri. Kami percaya, suara rakyat, suara keramat,’ kenyataan bersama Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Hanipa Maidin (Sepang) dan Manivannan (Kapar) dipetik.

Desak kerajaan batal GST kad ‘top-up’

Antara kempen pertama dilancarkan adalah bantahan terhadap pengenalan cukai GST keatas kad tambah nilai (top up card) yang memberi kesan terutamanya kepada anak muda, pelajar, golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pesara.

Menurut Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Konsumer dan Koperasi, 44 peratus aduan diterima adalah berkenaan dengan kad tambah nilai, dan dipercayai berpunca daripada kegagalan kerajaan berunding dengan syarikat telekomunikasi.

Difahamkan, perkhidmatan pra-bayar merangkumi 60 peratus daripada jumlah panggilan, SMS dan khidmat data kesemua syarikat telekomunikasi.

“Isu ini melibatkan semua lapisan masyarakat Mereka menggunakan perkhidmatan tambah nilai kerana tidak mampu membayar pelan pasca bayar.

“Dengan mengenakan cukai GST, kita jangkakan syarikat-syarikat telekomunikasi mengaut keuntungan RM80 hingga RM120 juta setahun.

“Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menjanjikan tiada GST untuk kad tambah nilai, tetapi sekarang terbuktinya GST dikenakan. Jelas janji tidak ditepati.

“Kami menyeru semua golongan yang tidak puas hati menandatangani petisyen rakyat untuk menyatakan suara kepada kerajaan. Kami juga akan turun padang membuat kempen mengenai isu ini,” kenyataan tersebut dipetik. – Roketkini.com