Berita

Penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang, satu lagi projek ‘lanun?’ – Guan Eng

BAGAN, 6 APRIL: Sikap ‘berahsia’ kerajaan mendedahkan susulan projek RM353 juta pendalaman perairan Selat Utara bagi membesarkan laluan kapal di Pelabuhan Pulau Pinang menimbulkan persoalan sama ada projek itu satu lagi usaha merompak aset awam.

Persoalan itu ditimbulkan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng apabila pertanyaannya dijawab Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar di Parlimen.

“Tanpa pelaksanaan segera pengorekan Selat Utara sedalam 15 meter untuk laluan Pelabuhan Penang dengan harga murah oleh Seaport Terminal Sdn Bhd, penswastaan pelabuhan Pulau Pinang dilihat sebagai satu lagi ‘rompakan’ terhadap aset awam bagi tujuan keuntungan

“Malangnya soalan saya mengenai projek pengorekan bernilai RM 353 juta itu tidak dijawab,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Beliau sebelum ini dalam soalan di Parlimen bertanyakan status penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang, mekanisme pengurusan, hutang yang perlu ditanggung selain tarikh mula projek RM 353 juta itu.

Namun Wahid hanya memaklumkan pengambilalihan dan tidak menyatakan bila projek itu akan dilaksanakan.

Tambah mengejutkan, harga penjualan syarikat pelabuhan itu jauh lebih rendah dari jangkaan.

“Saya terkejut dengan harga rendah dibayar kepada penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada syarikat yang dikaitkan dengan jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

“Tanpa pelaksanaan segera, kerajaan Persekutuan menyerahkan keperluan penting yang turut termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan 10. Pelabuhan Pulau Pinang akan terus secara perlahan-lahan menjadi cetek.

“Kapal-kapal di Pulau Pinang memerlukan sekurang-kurang pengorekan sedalam 15 meter bagi menampung kenderaan itu.

“Sehingga hari ini, tiada pengumuman rasmi pemindahan pengurusan, kecuali apabila dibangkitkan di Parlimen, atau pengumuman awam oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB),” ujar Guan Eng. – Roketkini.com