Berita

DAP mohon tindakan ke atas pegawai kesihatan seleweng peruntukan

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: DAP menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat semua penyelewengan pegawai kesihatan seperti terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2014.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran berkata, orang ramai sudah tidak dapat bersabar dengan segala penyelewengan dan hukuman perlu dikenakan terhadap pesalah termasuk mendakwa mereka di mahkamah.

“Kerajaan perlu tahu bahawa sudah tiba masanya tindakan tegas perlu diambil.

“Inilah masanya untuk kerajaan menunjukkan bahawa mereka tidak bertolak amsur terhadap sebarang perilaku tidak bertanggungjawab.

“Setiap tahun kejadian sebegini dilaporkan berulang, sekaligus membuktikan bahawa tidak pernah ada sebarang tindakan dilakukan,” kata Kula Segaran dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bahagian pertama LKAN 2014 telah dibentangkan semalam di Parlimen dan sekali lagi mendedahkan pembaziran serta kebocoran dalam pengurusan pentadbiran.

Menurut Naib Pengerusi DAP itu, apa yang paling mengejutkan apabila lapan buah klinik reproduktif di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) membahayakan pesakit dengan menggunakan mesin autoklaf yang tidak diservis sewajarnya.

“Bagaimana pegawai boleh menjadi tidak begitu cekap atau tidak bertanggungjawab dengan terus menggunakan mesin tanpa perakuan kecekapan yang tamat tempoh sehingga 100 bulan? soalnya..

Melalui kajian dibuat Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming kerajaan sebelum ini didapati membazirkan kira-kira RM6.5 bilion menerusi 64 kes di bawah LKAN 2012.

Tambah Kula Segaran, LKAN 2013 yang dibentangkan tahun lalu mendapati beberapa pejabat kesihatan menyalahgunakan peruntukan makanan yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Dilaporkan peruntukan makanan digunakan untuk membeli makanan seperti nasi lemak, kuih muih dan teh tarik bagi kegiatan mesyuarat pejabat kesihatan daerah di Jerantut, Gua Musang dan Kota Kinabalu.

“Sejumlah RM87,851,38 disalahguna oleh pegawai kesihatan. Kesalahan ini sepatutnya dipandang serius dan tindakan tegas harus diambil terhadap pegawai-pegawai yang jelas tidak bertanggungjawab,” tegasnya. – Roketkini.com