Berita

Dedah penyelewengan tabung amanah pelajar miskin – Sivakumar

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: DAP hari ini menggesa Kementerian Pendidikan supaya mendedahkan segera dakwaan wujudnya penyelewengan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang berlaku di Perak.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa murid-murid miskin di kawasannya yang layak mendapat bantuan KWAPM tidak diberikan bantuan selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2012.

“Dikatakan sejumlah wang lebih kurang RM66,000 terlibat dalam kes ini yang sepatutnya diedarkan kepada 301 orang murid sekolah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pihak kementerian telah menjalankan siasatan berhubung dengan kes berkenaan, jadi saya memohon pihak kementerian memberi maklum balas (mengenai) siasatan serta tindakan yang akan diambil supaya penyelewengan seperti ini tidak berlaku lagi,” ujarnya.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Perak itu, tabung KWAPM ditubuhkan pada 2003 di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 dengan objektif untuk membantu ibu bapa yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan bagi menghantar anak mereka ke sekolah.

Penubuhan KWAPM juga bertujuan untuk membasmi keciciran pelajar daripada persekolahan akibat kemiskinan.

“Setiap yang bertanggungjawab dan mempunyai urusan pentadbiran serta pengendalian sesebuah sekolah tidak patut melupakan niat ataupun tujuan penubuhan ini,” ujar Sivakumar.

Beliau menegaskan, bantuan yang diberikan itu sepatutnya harus sampai kepada kumpulan sasaran.

“Jika peruntukan itu tidak sampai kepada kumpulan sasaran, tidak ada makna langsung untuk segala bantuan yang disalurkan,” tegasnya.

Sivakumar turut meminta kementerian menyatakan kaedah peruntukan tersebut disalurkan, sama ada melalui Pejabat Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Pihak Pentadbiran Sekolah, Persatuan Ibubapa dan guru-guru atau Lembaga Pengelola Sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan semalam di parlimen memberitahu bahawa pihaknya telah menyalurkan sebanyak RM12,702,200 di bawah program KWAPM bagi membantu 54,636 orang murid. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) menerima sejumlah RM7,835,550 untuk 35,034 orang murid. – Roketkini.com