Berita

Hospital pengajar kena GST, kerajaan tambah beban pesakit

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: DAP mendesak Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengecualikan hospital pengajar dari Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Kampar Dr Ko Chung Sen berkata, tindakan kerajaan mengenakan GST terhadap institusi pendidikan dan kesihatan sangat tidak wajar kerana ia tergolong dalam perkhidmatan awam untuk rakyat.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini mendakwa semua hospital dan klinik yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) dikecualikan dari GST.

“Malangnya, Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Pusat Perubatan Universiti UKM (PPUKM) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tetap dikenakan GST.

“Ini tindakan yang tidak konsisten daripada kerajaan kerana mengutip cukai daripada pesakit kurang berkemampuan.

“Hospital pengajar dibiayai oleh kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan dan ia boleh dianggap sebagai perkhidmatan awam,” katanya.

Dr Ko menegaskan, organisasi tersebut bukan sahaja tidak sepatutnya dikenakan GST, malah mereka juga boleh menuntut kembali cukai tersebut bagi setiap peralatan, barangan pengguna dan perkhidmatan.

Beliau menyatakan, kebanyakan pesakit bagi hospital pengajar terdiri daripada kalangan berpendapatan rendah, dan cukai GST hanya membebankan mereka.

“Hospital HUSM Kubang Kerian di Kelantan tidak bercadang untuk mengenakan GST kepada pesakit mereka.

“Naib Canselor mereka, Profesor Datuk Dr Omar Osman berharap pengecualian GST akan diberikan kepada kampus perubatan kerana institusi turut tidak dikenakan cukai tersebut. – Roketkini.com