Berita

POTA: Masa depan gelap hak asasi manusia di Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: DAP menyelar tindakan Gerakan yang sebelum ini mendakwa diri mereka pembela nilai demokratik, namun akhirnya membatu dan menyokong Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, amat memalukan menyaksikan Gerakan yang diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Meng tidak berkata apa-apa dalam perbahasan POTA semalam.

“Apabila saya membahaskan pindaan kepada Seksyen 13 hingga 28 rang undang-undang POTA yang dicadangkan Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin, saya menjemput Liang untuk menyatakan kedudukan partinya.

“Jawapan yang diterima amat mengecewakan iaitu ‘malas nak jawab’

“Ia sangat mengecewakan untuk melihat parti hati nurani kepada BN langsung tidak peduli untuk mempertahankan rang undang-undang POTA yang membenarkan penahanan tanpa bicara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Gerakan sebelum ini telah menyuarakan bantahan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan perkara tersebut juga tertera dalam ‘booklet’ mereka.

Kian Ming juga mengkritik MCA yang turut membisu semasa perbahasan semasa perbahasan mengenai pindaan kepada rang undang-undang POTA.

“Dengan pembela nilai-nilai liberal dan demokratik yang ada dalam BN seperti Gerakan dan MCA, perlindungan hak asasi manusia di Malaysia sedang menghadapi masa gelap,” ujarnya.

POTA diluluskan kira-kira jam 2.45 pagi tadi meskipun wakil rakyat Pakatan Rakyat berhempas pulas membantahnya dan meminta ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk perbincangan lanjut.

POTA diluluskan selepas undian belah bahagian ke sembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju (untuk meluluskan). -Roketkini.com