Berita

Batalkan kontrak MyEG, upayakan semula peranan Jabatan Imigresen

BUKIT MERTAJAM, 8 APR: DAP mendesak kerajaan membatalkan kontrak MyEG ekoran pelantikan syarikat itu dilihat memonopoli perkhidmatan yang sepatutnya dilaksanakan Jabatan Imigresen, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Dalam jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen, MyEG diberikan kontrak memperbaharui permit pekerja asing, sedangkan kontrak sama telah diberikan kepada NERS Sdn Bhd.

“Saya kecewa dengan jawapan Wan Junaidi.

“Apabila saya bertanya kenapa MyEG dapat projek perbaharui permit pekerja asing sedangkan NERS Sdn Bhd sudah dapat kontrak 12 tahun untuk buat kerja serupa.

“Timbalan Menteri mengatakan kedua-dua syarikat mempunyai dua peranan berbeza. Namun, faktanya kerajaan telah membayar NERS Sdn Bhd ratusan juta beberapa tahun kebelakangan ini untuk mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Kenapa tidak syarikat itu juga ditugaskan untuk memperbaharu PLKS? soal Steven.

Beliau menyifatkan pemberian satu lagi kontrak kepada MyEG sebagai ‘wang mudah’, sementara telah ada syarikat yang melakukan kerja serupa .

Steven turut mempersoalkan lantikan syarikat-syarikat lain bagi menguruskan hal-hal pentadbiran pekerja asing itu, sedangkan kerja tetsebut seharusnya dilakukan Jabatan Imigresen.

“Alasan timbalan menteri bahawa MyEG ditugaskan memperbaharui permit atas talian internet sebagai satu strategi IT dan usaha pengkomputeran kerajaan adalah sangat dangkal.

“Jika benar itulah alasannya, kenapa tidak Jabatan Imigresen sendiri dikomputerkan daripada membenarkan ‘orang tengah’ membuat ‘duit mudah?

“Hakikatnya Jabatan Imigresen sendiri sudah menyediakan khidmat permohonan atas talian, termasuk Pas Lawatan Profesional (PVP), pembantu rumah asing, pas pelajar, pas residen dan banyak lagi,” ujar Steven.

Wan Junaidi sebelum ini berkata, lantikan MyEG adalah bagi membanteras ‘ulat-ulat’ iaitu ejen dan orang tengah yang berurusan dengan Jabatan imigresen yang didakwa memperolehi keuntungan di antara RM200 dan RM300 bagi satu-satu transaksi.

MyEG yang mengenakan bayaran RM38 bagi satu transaksi dijangka mengumpul lebih RM 100 juta selain NERS Sdn Bhd, menunjukkan tindakan kerajaan itu adalah monopoli bagi satu keperluan perkhidmatan.

Justeru itu ujar Steven, kerajaan harus membatalkan lantikan MyEG untuk mengelakkan monopoli dan Jabatan Imigresen melaksanakan semula peranan mereka seperti sebelum ini.

“Kerajaan sepatutnya batalkan lantikan MyEG. Biarkan Jabatan Imigresen yang sediakan perkhidmatan atas talian, seperti yang mereka sediakan sebelum ini,” kata Steven. – Roketkini.com