Berita

Caj perkhidmatan bukan isu utama, tetapi kerajaan mesti bertindak

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: DAP menyarankan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) agar mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang gagal mempamerkan notis caj perkhidmatan.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, ini kerana para pengguna berhak diberi makluman tentang caj yang dikenakan sebelum membuat keputusan untuk menjadi pelanggan mereka.

Menurutnya, langkah tersebut wajar dilakukan segera untuk meringankan beban pengguna akibat pelaksanaan GST minggu lalu dan bukannya baru sekarang mahu kecoh-kecoh tentang caj perkhidmatan.

“Saya mencadangkan supaya pihak kementerian mengambil tindakan di bawah undang-undang dan peraturan sedia ada yang mewajibkan peniaga mempamerkan tanda harga terhadap mereka yang gagal mempamerkan notis caj perkhidmatan.

“Saya bersetuju dengan cadangan supaya premis yang mengenakan caj perkhidmatan mempamerkan notis bahawa mereka berbuat demikian, tapi adakah peniaga yang gagal melakukannya boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan atau Akta Perlindungan Pengguna?

“Kerana bagi saya kedua-dua akta ini tidak boleh dipakai untuk mengambil tindakan terhadap premis yang mengenakan caj perkhidmatan tanpa mempunyai perjanjian bersama dengan pekerjanya melainkan satu akta baru digubal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur itu menyatakan, selepas seminggu cukai 6 peratus GST dilaksanakan, banyak rungutan telah beliau dengar tentang kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Malah katanya, ramai pihak telah mula memeriksa resit bayaran masing-masing dan melihat caj-caj tambahan yang dirasakan tidak wajar seperti caj perkhidmatan yang dikenakan oleh restoran, hotel serta lainnya.

Pada 6 April lalu, portal The Sun Daily melaporkan bahawa Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad akan mengambil tindakan terhadap premis yang mengenakan caj perkhidmatan tanpa mempunyai perjanjian bersama pekerjanya.

Beliau turut berkata bahawa premis yang mengenakan caj perkhidmatan, di samping caj 6 peratus GST, mestilah mempamerkan notis kepada pelanggan.

Mengulas tindakan tersebut, Lim menegaskan bahawa ia sebenarnya adalah satu taktik untuk mengalihkan perhatian orang ramai yang masih bergelut dan marah dengan kesan pelaksanaan GST.

“Mereka bukannya marah sangat dengan caj perkhidmatan memandangkan hal tersebut bukanlah sesuatu yang baru.

“Tidak wajar untuk menyalahkan premis yang sudah sekian lama mengenakan caj perkhidmatan, sedangkan masalah sebenar ialah pelaksanaan GST yang kalut dan serabut,” tegasnya. – Roketkini.com