Berita

Jaminan keselamatan Sabah: DAP gesa kerajaan tubuh pasukan pengaman

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Seluruh daerah di Sabah wajar mendapat jaminan keselamatan Kerajaan Persekutuan daripada sebarang ancaman melibatkan puak pengganas terutamanya di Pantai Timur Sabah.

Lebih-lebih lagi kerana Sabah merupakan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

“Rakyat dan kedaulatan Sabah tidak boleh sama sekali dianaktiri termasuklah melibatkan isu keselamatan.”

Demikian tegas Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phin dalam satu kenyataan di Parlimen mendesak kerajaan memperkukuhkan lagi kawasan pertahanan dan keselamatan di kawasan timur negeri itu.

“Walaupun ESSCOM telah ditubuhkan, ia hanya dari aspek pertahanan dalam negeri, saya berpendapat jika kita mahu selesaikan masalah ini selama-lamanya, kita mestilah mendapat sokongan dari rakan-rakan kita di ASEAN dan juga rakan kita dari masyarakat antarabangsa supaya keamanan di Pantai Timur Sabah akan dijaga,” kata beliau.

Beliau turut mendesak agar kerajaan Malaysia segera mempertimbangkan penubuhan pasukan pengaman ASEAN yang dianggotai negara serantau.

“Saya harap, ASEAN akan segera tubuhkan joint force yang terdiri daripada negara-negara serantau untuk jaga keselamatan rantau ini supaya keamanan di rantau ASEAN terjamin.

“Contohnya dengan segera menubuhkan Pasukan Pengamanan ASEAN, ia satu model yang baik untuk tangani masalah ancaman pengganas terutamanya di Pantai Timur Sabah dan di Selatan Filipina, dengan syarat, konsensus mesti dicapai dengan Filipina,” kata beliau yang juga Pengerusi DAP Sabah.

Pada awal Mac lalu, majoriti negara ASEAN telah bersetuju menubuhkan pasukan Pengaman Asean (Asean Peacekeeping Force) dalam menjamin keselamatan dan kestabilan rantau ini. – Roketkini.com