Berita

Najib buat pusingan ‘U’ kerana tekanan dalam UMNO?

KUALA LUMPUR, 8 APR: Apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pusingan ‘U’ dengan mewartakan undang-undang termasuk Akta Pencegahan Keganasan (POTA) akibat tekanan dalaman UMNO?

Demikian persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, berhubung langkah Najib ‘merestui’ pewartaan undang-undang menindas, sedangkan Perdana Menteri keenam itu sebelum ini dilihat cuba melakukan perubahan melalui pemansuhan akta-akta menindas.

“Datuk Seri Najib masuk ke pejabat (Perdana Menteri) enam tahun lalu sebagai pembaharu, kini memutuskan membuat pusingan ‘U’ dan berpaling dari janjinya sebelum ini.

“Pembentangan secara tiba-tiba kerajaan daripada pindaan Akta Hasutan 1948 kepada menjadikannya lebih zalim ketika undang-undang itu dicabar di mahkamah menunjukkan Najib bersedia menerima ‘permintaan menekan’ demi kelangsungan kuasanya.

“Najib sememangnya telah lupa apa yang pernah beliau katakan, bahawa era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir,” kata Teresa dalam satu kenyataan.

Najib, pada malam sambutan Hari Malaysia 2011 mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat selain menggantikan Akta Hasutan dengan undang-undang sesuai sebagai salah satu usaha transformasi politik.

Najib dalam ucapannya turut memberi kelonggaran terhadap penyertaan pelajar dalam politik, memerdekakan undang-undang berkenaan media dan memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman.

Namun kata Teresa, terbukti bahawa Najib bukan seorang pembaharu dan semua ucapannya berhubung agenda kesederhanaan tidak terpakai.

Terbaru, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang- Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi Selasa lalu, selepas dibahaskan lebih 12 jam.

POTA diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju (untuk meluluskan).

Dalam pada itu, Teresa turut mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin 29 November lalu yang memberi amaran dalam Perhimpunan Agung UMNO bahawa BN akan kehilangan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang hanya dengan penurunan dua peratus undi.

“Jangan-jangan Najib fikir dengan melakukan pusingan ‘U’ dan memenuhi kehendak kuasa-kuasa regresif di dalam dan luar UMNO akan memastikan kelangsungannya sebagai Perdana Menteri.

“Tapi dia perlu ingat, bagaimana bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi gagal melaksanakan pembaharuan menyebabkan ‘bencana’ kepada BN sebelum pilihan raya umum pada 2008,” kata Teresa. – Roketkini.com