Berita

Pentadbiran lemah, punca utama universiti swasta terpaksa tutup

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Pengurusan lemah antara punca utama tekanan kewangan dan hasil yang yang kurang berkualiti dari universiti swasta di Malaysia, kata Pengurus Besar Penang Institute Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, kajian terbaru Penang Institute menunjukkan salah satu punca masalah adalah kekurangan pengalaman komersial antara Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor dalam sesebuah institusi pengajian.

Menurut Kian Ming, 76 peratus Naib Canselor dan 70 peratus Timbalan Naib Canselor dari universiti awam yang mempunyai sedikit pendedahan mengenai pengurusan komersial.

Sebagai contoh, beliau merujuk kajian perbandingan ke atas Universiti Tunku Abdul Rahman (Unitar) dan Universiti Tun Razak (UNIRAZAK) yang menunjukkan prestasi berbeza berikutan kemahiran komersial masing-masing.

“Pada akhir 2013, Unitar International University mempunyai aset dan rizab yang positif. Mereka memperoleh keuntungan dan dapat membayar dividen kepada pemilik.

“Unitar juga memiliki pelajar sekitar 9,000 orang dan telah berpindah ke kemudahan baru bagi meningkatkan perkhidmatan kepada pelajar.

“Sebaliknya, UNIRAZAK mempunyai aset dan rizab negatif sekaligus mencatatkan kerugian besar, dengan jumlah pelajar hanya 800 orang, terpaksa menjual aset bangunan dan menyewa bangunan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan data dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kira-kira 45 peratus universiti swasta di negara ini memiliki aset negatif dan 46 peratus telah menanggung kerugian.

Penang Institute sebelum ini juga mendedahkan bahawa graduan lulusan universiti swasta lebih ramai menganggur berbanding graduan universiti awam.

Melalui data terbaru 2013 dikeluarkan Kementerian Pendidikan mendapati, 27 peratus graduan universiti swasta menganggur sehingga enam bulan sebelum mendapat pekerjaan berbanding universiti awam, iaitu hanya 24 peratus.

Ong yang juga Ahli Parlimen Serdang menegaskan, isu ini bertambah parah apabila kerajaan mengabaikan universiti swasta dan perkara itu jelas terbukti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

“Hakikat bahawa sektor pendidikan tinggi swasta telah diabaikan adalah kelalaian serius bahawa hampir separuh daripada keseluruhan enrolmen dalam pendidikan lepasan menengah adalah di universiti swasta, kolej universiti dan kolej,” ujarnya. – Roketkini.com