Berita

Saham FGVH menjunam lagi, peneroka Felda dikhuatiri rugi RM177 juta

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Seramai 94,125 peneroka bakal kehilangan RM177 juta akibat kejatuhan mendadak harga saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH), menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

“Apabila FGVH disenaraikan pada Jun 2012, peneroka diperuntukkan 800 unit saham setiap seorang di dalam syarikat itu, dan mereka ditawarkan diskaun 10 sen kepada harga penawaran runcit RM4.55 sesaham.

“Malangnya, peneroka yang memegang saham ini akan kehilangan satu jumlah anggaran RM177 juta berdasarkan harga pasaran semasa yang ditutup semalam pada hanya RM2.09 sesaham.

“Ini adalah hasil daripada penurunan 53 peratus harga saham sejak dua tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim semalam, 94,125 peneroka, bersamaan 99.9 peratus daripada mereka masih mempunyai saham dalam FGVH.

Setiausaha Publisiti DAP itu menambah, kejatuhan mendadak itu amat memalukan kerana Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) menunjukkan prestasi yang kukuh dengan peningkatan daripada 1,559 (16 peratus) kepada 1,855 mata dalam tempoh yang sama.

Kata Tony, ini sekaligus menjadikan FGVH sebagai saham perladangan paling teruk dalam Bursa Malaysia.

“Prestasi FGVH memalukan walaupun mereka mendapat sokongan padu dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan dana negeri,” katanya.

Beliau turut mengecam tindakan Razali yang mendakwa prestasi FGVH di landasan betul untuk mencapai mencapai sasaran ditetapkan dan keuntungan operasi mereka meningkat sebanyak 10 peratus pada 2014 kepada RM1.03 bilion.

Dakwa Razali lagi, pendapatan FGVH juga meningkat sebanyak 30.8 peratus kepada RM16.4 bilion, manakala keuntungan kasar melonjak kepada RM2.14 bilion.

“Respon menteri adalah jelas satu sindrom penafian.

“Tindakan beliau memetik statistik kewangan seolah-olah seperti seorang doktor memberitahu pesakit bahawa penglihatannya masih baik, walaupun penyumbatan arteri koronari teruk dikesan dan memerlukan tiga kali pembedahan pintasan,” sindir Tony.

Menurutnya, walaupun pendapatan menunjukkan peningkatan, namun keuntungan bersih tahunan FGVH menjunam 52.7 peratus daripada RM1.16 bilion pada 2013 kepada RM0.55 bilion pada 2014.

“Kedudukan kewangan FGVH tidak memperlihatkan perkembangan sihat. Pegangan tunai syarikat itu berkurangan dengan ketara daripada RM5.03 bilion kepada RM3.67 bilion.

“Syarikat itu juga masih berhutang dengan pinjaman yang meningkat daripada RM4.35 bilion kepada RM4.63 bilion,” kata Tony. – Roketkini.com