PETALING JAYA, 9 APR: Beberapa wakil MCA tidak dapat menyembunyikan rasa malu apabila diberikan sebuah cermin dinding ketika menyerahkan memorandum menuntut DAP memutuskan hubungan dengan PAS di ibu pejabat DAP Selangor hari ini.
Wakil DAP Selangor, Edry Faizal Yusof yang menerima memorandum MCA itu membalasnya dengan sebuah cermin dinding berwarna biru, simbol warna bagi parti komponen BN itu
“Kita akan terima memo MCA ini, dan kita membalasnya dengan sebuah cermin.
“Cermin ini adalah untuk setiap wakil MCA mencermin diri mereka.
“Kita (ingin) beritahu MCA. Sebelum minta komitmen DAP, MCA patut cermin diri dulu, adakah komitmen dari kabinet itu sudah tertunai atau belum.
“Sebab kita dengar kabinet nak bincang hudud, tapi tidak bincang. Jadi kita tunggu komitmen kabinet dari pihak MCA,” kata Edry kepada pemberita.
Wakil MCA Tan Bok Koon yang juga Timbalan Ketua Biro Publisiti MCA Selangor tidak menyangka mendapat hadiah cermin sebagai balasan memorandum yang diserahkan pihaknya.
Dalam pada itu, ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh menyifatkan tindakan DAP Selangor itu mengejutkan delegasi MCA tersebut.
“MCA Selangor yang protes di pejabat Tony Pua kerana bantah hudud terkejut betul bila diberi cermin oleh Edry Faizal yang juga ahli jawatankuasa DAP Selangor.
“Ini detik klasik!” ujar Hannah di halaman Facebooknya. – Roketkini.com