Berita

GST: DAP gesa pihak berkuasa henti tekan peniaga kecil

KUALA LUMPUR, 9 APR: DAP mendesak pihak berkuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia menghentikan penguatkuasaan terhadap pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (SME) yang terjejas teruk akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt berkata, beliau mendapat banyak aduan dari pemilik pengusaha perniagaan kecil yang mengalami kesukaran untuk mengadaptasi kaedah bagi senarai barangan yang dikecualikan cukai.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, sekaligus membolehkan urusniaga perniagaan seperti sediakala.

“Adalah amat tidak wajar apabila kerajaan seolah-olah hanya mementingkan jangkaan perolehan mereka semata-mata.

“Kerajaan sepatutnya membantu golongan peniaga ini dan membuat pemantauan secara serius.

“Perniagaan kecil-kecilan terbeban dan menderita kerana berhadapan banyak masalah.

“Tapi sampai sekarang pihak berkuasa terus-menerus menekan dan menjalankan penguatkuasaan terhadap mereka tanpa bantuan sewajarnya,” kata Stephen dalam satu kenyataan di Parlimen.

Beliau mendedahkan, meskipun GST mula berkuatkuasa minggu lalu, namun komponen perisian perakaunan mengalami lebihan permintaan dan kehabisan stok di pasaran.

Ia sekaligus menyebabkan kesukaran menjalankan perniagaan kerana tidak ada resit berkomputer yang sah untuk berurusan dengan pelanggan.

“Adalah penting untuk memberikan satu tempoh penangguhan, sekurang-kurangnya enam bulan kepada pengusaha perniagaan bagi menyesuaikan diri dan melancarkan segala urusan,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah itu menyatakan, segala masalah ini membuktikan betapa Malaysia sebenarnya masih belum bersedia untuk GST.

“Bukan saja usahawan SME yang melakukan kesilapan, syarikat besar seperti 7-Eleven turut melakukan kesilapan.

“Pada masa yang sama, banyak pengusaha perniagaan tradisional terpaksa gulung tikar.

“Nampaknya kerajaan menipu rakyat secara terang-terangan. Lihatlah pada situasi pasaran sekarang. Kebanyakan harga barangan meningkat tinggi.

“Ini membuktikan GST membawa kesan negatif kepada pasaran semasa,” ujar Stephen. – Roketkini.com