Berita

MP Kota Kinabalu: Pentadbiran Sabah perlu beri lebih kuasa

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Kerajaan Persekutuan perlu memberikan lebih bidang kuasa pentadbiran kepada Sabah supaya pembahagian kemakmuran dan urustadbir negeri akan lebih teratur serta adil.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phin berkata, desakan tersebut selaras semangat Perjanjian 20 Perkara dalam pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

“Saya mengemukakan gesaan ini memandangkan sudah tiba masanya Sabah diberi ruang untuk menikmati pembangunan setanding dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Kami seolah-olah dianaktirikan sehingga tersenarai sebagai negeri termiskin dan ketinggalan jauh dari sudut pembangunan insfrastruktur serta kemudahan asas di kawasan luar bandar mahupun pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan di Parlimen.

Pengerusi DAP Sabah itu menegaskan, desakan itu juga bertepatan dengan dasar Pakatan Rakyat yang memperjuangkan ‘desentralisasi’ dan pengupayaan pengurusan ekonomi negeri.

Ujar Jimmy, pembangunan tidak seimbang akan mengakibatkan rakyat di negeri itu merasakan ‘dijajah’ oleh Semenanjung Malaysia.

Manakala kebajikan dan keselamatan rakyat Sabah juga berterusan terhakis dan terancam.

“Masih ramai rakyat Sabah di kawasan kampung dan pedalaman tidak mempunyai kemudahan infrastruktur seperti jalan, bekalan air, elektrik dan kemudahan kesihatan sehingga ada penduduk seperti di Pitas terpaksa menggunakan kerbau untuk membawa pesakit ke jalan utama.

“Situasi ini sudah terlalu banyak berlaku dan ia amat menyedihkan,” ujarnya.

Menurut Jimmy, rasa tidak puas hati itu merupakan antara punca munculnya kumpulan seperti Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang menjalankan kempen bagi meraih sokongan untuk Sabah keluar dari Persekutuan Malaysia.

Kerajaan baru-baru ini mengambil langkah untuk mengekang gerakan pemisah, dengan mencadangkan pindaan Rang Undang-Undang Akta Hasutan.

“Saya tidak menyokong apa jua usaha memisahkan Sabah dan Sarawak dari negara ini kerana ia berlawanan dengan Pembentukan Malaysia dan prinsip DAP ‘Malaysian Malaysia’.

“Persoalannya, adakah dengan mengunakan pindaan ini, Malaysia akan bebas dari sebarang ancaman pemisah atau seumpamanya?

“Pada saya, untuk mengelak dari berpisah tidak semestinya perlu menggunakan undang-undang yang zalim, tapi permasalahan di kedua-dua negeri itu perlu dilihat secara lebih mendalam,” tegasnya. – Roketkini.com