Berita

Pindaan Akta Hasutan: Adakah Dr Mahathir akan disiasat?

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Jika benar pindaan Akta Hasutan bertujuan menjaga keharmonian negara, pemimpin BN termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga wajar dikenakan hukuman.

“Apakah kita semua masih ingat bahawa Mahathir pernah mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan 1983. Perkara ini terkandung dalam hansard Parlimen

“Jadi saya mahu tanya bukankah tindakan ini adalah menghasut? Apakah dengan pindaan ini, Dr Mahathir juga akan disiasat?” soal Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Menurut bacaan pertama pindaan Akta Hasutan dua hari lalu, pindaan itu menyaksikan pengenalan baru yang menjadi kesalahan kepada ‘sesiapa sahaja yang mencetuskan niat tidak baik, menyemarakkan kebencian, perasaan jahat atau kebencian melibatkan isu agama’.

Dalam bacaan kedua dan ketiga hari ini, pindaan Seksyen baru 5(a) Rang Undang-Undang untuk meminda akta tersebut menyatakan ‘jika seseorang dipertuduh atas kesalahan di bawah Seksyen 4(1a) dan diperakui secara bertulis oleh pendakwaraya, tiada jaminan boleh diberikan demi kepentingan awam.

Selain itu, pindaan akta berkenaan turut memasukkan seksyen baru iaitu Seksyen 5(b) bertujuan ntuk menghalang individu yang dituduh di bawah Akta Hasutan dari meninggalkan Malaysia

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo sebelum ini mengkritik pindaan tersebut dan meminta Speaker Tan Sri Pandikar Amin menangguhkan pembentangannya ke tarikh lain.

Kata Gobind, mengikut peraturan Dewan Rakyat, Pandikar harus menangguhkannya kerana Akta Hasutan masih menjadi kes mahkamah dan pihak mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Beliau merujuk kes pensyarah Universiti Malaysia Profesor Azmi Sharom yang mencabar keperlembagaan akta itu. – Roketkini.com