Rencana

Selamat datang 1984

Selepas berakhirnya Perang Dunia ke 2,  Eric Arthur Blair – lebih dikenali dengan nama samaran George Orwell membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya kebebasan itu dianggap jenayah. Imaginasi Orwell telah mencetuskan bayangan terhadap kuasa totalitarianisme.

Manusia tidak lagi mempunyai kebebasan. Kuasa politik digunakan untuk menindas lawan politik mereka. Kebebasan bersuara diharamkan. Maka, ‘Abang Besar sedang memperhatikan kamu!’ (Big Brother is Watching You!)

1984 ditulis setelah berakhirnya Perang Dunia ke 2. Amerika Syarikat mewakili blok Barat, Soviet mewakili Blok Komunis. Tatanan Dunia dibentuk dengan dua blok pemikiran, pro-Kapitalis vs pro-Komunisme.  Ia melahirkan perang ideologi yang panjang di antara Amerika Syarikat dan Republik Soviet. Malah,  ia memakan masa selama 35 tahun.

1984 diterbitkan pada 8 Jun 1949. Waktu itu, Amerika baru sahaja memperkenalkan Doktrin Truman. Ia menandakan bermulanya Perang Dingin. Setelah tamat perang Korea 1953, Amerika mahu dilihat kuasa besar menandingi Soviet. Soviet pula memaksakan sistem komunisme dimana warga Soviet diperintah oleh konsep pentadbiran satu-parti. Politburo menguasai keputusan dan dasar pentadbiran Soviet.

Dalam latar belakang dunia politik yang sengit, Orwell menyiapkan sebuah karya sastera yang bakal mempengaruhi dunia kesusasteraan Barat moden. 1984 juga dijadikan rujukan pengkaji dan ahli akademik untuk memahami konsep totalitarianisme.

1984 merupakan sebuah cerita tentang Winston Smith, aktivis Outer Party. Dia bekerja dengan Ministry of Truth. Tugas Winston adalah mengkaji semula konsep sejarah politik. Negara Airstrip One telah diperintah oleh sistem politik yang dikenali sebagai INGSOC (atau: English Socialism).

Ia juga tentang Big Brother (kuasa) yang memerintah minda rakyat Airstrip One secara paksa. INGSOC telah mencipta bahasa Newspeak yang merujuk kepada kuasa media untuk menyebarkan propaganda kerajaan yang diperintah oleh rejim totalitarian.

Persoalan yang diangkat Orwell di dalam 1984 adalah tentang dominasi kuasa ke atas ‘kebenaran’. Kebenaran diolah supaya ia memihak kepada kekuasaan. 1984 menceritakan bagaimana ‘kuasa’ menjana persetujuan ‘manifacturing consent’ supaya daulah dapat dipertahankan. Gugatan-gugatan terhadap kebebasan dibentuk menerusi perlaksanaan undang-undang. Ketakutan dijadikan asas supaya rakyat tidak berfikir dan secara perlahan-lahan mengolah persetujuan mereka.

Apakah undang-undang menjadi asas keadilan atau alat penindas?

Musuh jelas buat kekuasaan  adalah keganasan. Hannah Arendt di dalam On Violence menyatakan keganasan hanya akan mengambil tempat ketika kekuasaan berhadapan dengan krisis ; khususnya ketika berhadapan dengan penentangan.

Jika kuasa sedang digugat, usaha terakhir adalah dengan menutup kepincangan menerusi perlaksanaan undang-undang.

Semangat perlembagaan dimulakan dengan prinsip ‘equal before the law’. Semua manusia dianggap saksama dan adil. Namun, apakah undang-undang mampu untuk menjamin keadilan untuk semua?

Perbahasan mengenai keadilan dan undang-undang merupakan debat yang panjang. Ia masih dibicarakan sehingga harini. Asas hukum (rule of law) harus melindungi hak asasi manusia. Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 menggariskan elemen ‘right of free and fair trial’ sebagai asas kepada undang-undang.

Namun, perlaksanaan undang-undang yang dianggap bercanggah dengan semangat ini wajar ditolak dan ditentang.

Tepat jam 12 pagi, 7 April – jam di parlimen dihentikan. Perbahasan kedua mengenai undang-undang membanteras keganasan, Akta Pencegahan Keganasan ( Prevention of Terrorism Act) diluluskan dengan keputusan 79 menyokong, 60 menentang. Syabas diucapkan kepada barisan ahli parlimen yang berusaha mengekang akta ini dilaksanakan.

26  ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak hadir. Ia memberikan majoriti mudah kepada ahli parlimen Barisan Nasional membuat undian. Parlimen bersidang sehingga jam 2 pagi. Namun, keputusan memihak kepada perlaksanaan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

N.Surendran – Ahli Parlimen Padang Serai yang juga merupakan seorang peguam menegaskan bahawa POTA melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjamin hak untuk dibicarakan dan diadili di mahkamah.

“Lembaga pencegahan keganasan dibentuk bawah klausa 8 (rang undang-undang itu), tidak perlu terkeliru dengan lembaga penasihat yang dinyatakan dalam perlembagaan; ia tidak mempunyai ciri-ciri lembaga penasihat yang diperuntukkan dalam Perkara 151.

“Kesalahan besar dalam rang-undang ini menjadikan ia tidak mengikut perlembagaan, dan sebarang penahanan bawah undang-undang sebegini akibatnya tidak sah,” merujuk kenyataan beliau yang disiarkan oleh portal Malaysiakini pada 7 April 2015.

Presiden Majlis Peguam, Steven Thiru pula menegaskan terdapat kelompongan di dalam penggubalan akta baru tersebut. Beliau yang mewakili Majlis Peguam membantah penggunaan akta itu yang disifatkan tidak demokratik.

Rang Undang-Undang tersebut disifatkan oleh pemimpin parti pembangkang sebagai akta zalim yang menindas. Antara yang menjadi hujah perbahasan termasuklah klausa yang menyatakan sebarang pendakwaan POTA tidak boleh dirujuk untuk semakan kehakiman.

Ia merupakan penggunaan akta serupa sebelum ini ; seperti penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang asalnya digunakan untuk mengekang gerakan komunis, namun disalahguna untuk menangkap ahli politik, aktivis, ahli akademik dan pemimpin masyarakat sivil.

Akta yang sama digunakan oleh kuasa besar Amerika Syarikat untuk menangkap tahanan politik. Akta Patriot dilaksanakan untuk melunaskan agenda ‘Perang Atas Keganasan’ semasa pentadbiran George W. Bush.

Akta yang sama digunakan untuk menafikan hak tahanan politik supaya dilayan samarata mengikut undang-undang. Namun, sebaliknya telah terjadi. Apakah Malaysia mahu mengulang peristiwa penyeksaan banduan Teluk Guantanamo?

Bagi sebuah negara ‘Islam’ yang mempunyai indeks Syariah yang tersendiri, kerajaan Malaysia harus mengetahui bahawa asas perundangan di dalam Islam menegaskan bahawa keadilan adalah asas utama yang dianjurkan Islam. Jadi, penggunaan undang-undang zalim sama sekali bertentangan dengan asas perjuangan yang diterapkan oleh Islam.

Apa yang kita semua harus lakukan adalah bersatu untuk menentang akta zalim ini. Ketahuilah bahawa kebebasan itu visi untuk menuntut keadilan buat setiap manusia. Kita hidup di dalam zaman yang memerlukan kesedaran politik. Jika tidak, kita akan menjadi manusia yang dianggap penyair-filasuf Bertolt Brecht sebagai manusia bodoh politik. – Roketkini.com