Berita

DAP anjur jelajah forum 1MDB di Johor hujung minggu ini

KULAI, 10 APRIL: Berikutan kontroversi 1MDB yang mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion sehingga mampu melumpuhkan ekonomi negara, DAP Johor mengadakan jelajah empat forum di negeri itu hujung minggu ini.

Setiausaha Publisiti DAP Johor Teo Nie Ching berkata, forum yang terbuka kepada orang ramai itu akan dihadiri Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, tokoh penting yang mendedahkan penyelewengan anak syarikat kerajaan tersebut.

“Forum pertama akan diadakan pada 12 April bersamaan hari Ahad ini di Extreme Hotel, Kluang, jam 2 petang. dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong turut akan hadir.

“Manakala forum kedua pula akan diadakan pada hari sama, jam 7.30 malam di 11@Century, Johor Bahru. Bahasa penyampaian adalah dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Forum ini adalah percuma dan terbuka kepada semua masyarkat yang berminat untuk mengikutinya.

“Orang ramai diminta untuk menghebahkannya serta menjemput seramai mungkin kenalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

1mdb-johorSementara itu, dua lagi forum dalam bahasa mandarin turut diadakan pada hari Sabtu 11 April 2015 di My Library Sutera Mall (2.00 petang) dan di Persatuan Bekas Pelajar Yong Peng High School, Taman Kota Yong Peng (7.30 malam)

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menyatakan, hutang 1MDB telah menyebabkan negara dan rakyat terpaksa menerima impak yang berat.

Katanya, rakyat terpaksa menanggung beban hutang badan tersebut walaupun bukan mereka yang berhutang.

“Perkara ini dibuktikan dengan kerisauan beberapa tokoh negarawan terhadap urusan pelaburan 1MDB seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen BN Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ekoran daripada, satu siasatan daripada Jabatan Audit Negara telah dilakukan bagi mengatasi masalah penyelewengan wang rakyat ini,” ujarnya. – Roketkini.com