Berita

Orang ramai, NGO diajak namakan calon Kumpulan Tindakan Aksesibiliti Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 9 APR: Bagi membantu kerajaan Pulau Pinang, Jawatankuasa Kecil Akses Sejagat (JKAS) menjemput orang ramai dan NGO menamakan calon anggota Kumpulan Tindakan Aksesibiliti Pulau Pinang (PAAG).

ADUN Pulau Tikus Yap Soo Huey dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu dibentuk bagi mengupayakan setiap golongan termasuk orang tua, wanita, kanak-kanak dan pelbagai kategori orang kelainan upaya (OKU) bagi memantau kebolehsampaian terhadap tempat-tempat awam.

“Orang ramai dijemput untuk mencalonkan orang yang sesuai untuk menganggotai PAAG.

“Pencalonan haruslah dibuat sebelum 1 Mei 2015 dengan menghantar nama dan profil calon melalui emel,” ujar Soo Huey.

Menurutnya, ‘Akses Sejagat’ adalah persekitaran yang boleh digunakan secara meluas semua golongan individu tanpa memerlukan sebarang adaptasi atau rekaan khas.

Ia merupakan satu konsep di mana setiap individu mempunyai akses kepada semua tempat dan kemudahan pada setiap masa.

Sebagai contoh, penyediaan tanjakan bukan sahaja dapat memudahkan aksesibiliti golongan Orang kelainan Upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda tetapi dapat memudahkan ibu menolak kereta bayi, memudahkan individu menolak beg beroda.

Konsep itu juga mengambil kira perubahan kehidupan individu dari peringkat umur kanak-kanak sehingga dewasa, tua dan juga kurang upaya.

“Konsep akses sejagat menekankan penyediaan kemudahan-kemudahan yang memudahkan pergerakan semua peringkat umur dan keupayaan fizikal dan minda.

“Penumpuan konsep ini adalah untuk mengintegrasikan sebaik mungkin kemudahan-kemudahan yang digunakan semua golongan secara inklusif tanpa pengasingan,” jelas Soo Huey lagi.

Menurut Soo Huey, peruntukan dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 mewajibkan semua bangunan awam menyediakan akses yang memudahkan OKU bergerak, namun tidak dipatuhi sepenuhnya.

“Walaupun peruntukan-peruntukan ada, tetapi kebanyakan bangunan di Malaysia adalah tidak mesra pengguna, tidak selesa atau amat susah diakses orang tua, keluarga dengan anak-anak kecil, dan pelbagai kategori OKU.

“Salah satu sebab utama akses sejagat ini kurang dilaksanakan dengan baik di Malaysia adalah kerana pihak berkuasa dan juga industri pembinaan kurang mendalami dan memahami keperluan golongan terpinggir ini,”ujarnya lagi.

PAAG dipengerusikan Yap Soo Huet selaku pengerusi JKAS di bawah pentadbiran Majlis Mesyuarat Kerajaan Tempatan, sebagai perantara kumpulan itu dengan badan-badan kerajaan seperti Jabatan Kerja raya (JKR) dan Suruhanjayab Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Calon juga digalakkan memiliki pengalaman kekurangupayaan, mempunyai pengetahuan bidang guaman, seni bina, kejuruteraan, pembinaan bangunan, keperluan wanita, orang tua dan keluarga.

Orang ramai yang mempunyai calon boleh menghantar pencalonan melalui emel dengan subjek “PAAG Nominee-(nama calon) ke alamat emel [email protected].

Maklumat lanjut juga boleh didapatkan dengan menghubungi Encik Ooi di talian 04-2265217 pada waktu pejabat. – Roketkini.com