Berita

Komplot hudud UG Umno boleh musnahkan Persekutuan Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: DAP menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghentikan segera plot konspirator ‘Kerajaan Perpaduan’ (UG) UMNO sebelum landskap politik Malaysia berubah secara drastik akibat taktik kotor mereka.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, jika konspirator UG UMNO terus menggunakan cadangan pelaksanaan hudud di Kelantan sebagai umpan memusnahkan Pakatan Rakyat (PR), ia akhirnya akan membawa masalah kepada mereka sendiri.

“Walaupun Najib boleh bergembira bahawa plot konspirator UG UMNO telah berjaya menyebabkan kerosakan serius kepada PR, dia harus ingat ancamannya kemudian bukan saja kepada BN tapi termasuk Persekutuan Malaysia.

“Najib tidak menyedari bahawa senjata hudud oleh komplot UG UMNO ini sebenarnya merupakan pedang bermata dua, yang bukan saja boleh merosakkan perpaduan dan solidariti PR dengan kejayaan untuk menarik sokongan PAS dengan menyokong pelaksanaannya di Kelantan, ia juga mengancam perpaduan serta survival BN termasuk Persekutuan Malaysia.

“Malah, plot konspirator UG UMNO mempunyai potensi bukan saja untuk memusnahkan kedua-dua belah pihak, BN dan PR, tapi kepada negara atau membawa penyusunan semula kuasa-kuasa politik di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Kit Siang isyarat amaran jelas terpampang baru-baru ini apabila pelbagai pertubuhan di Sabah dan Sarawak telah mengecam agenda hudud konspirator UG UMNO.

Sebagai contoh, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyebut kenyataan dari Kuching Ministers’ Fellowship (KMF), sebuah rangkaian pastor dan pemimpin gereja di Sarawak yang menyatakan bahawa hudud melanggar Perlembagaan Persekutuan, asas sekular yang dipersetujui Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak ketika pembentukan Malaysia.

Menurutnya, Majlis Gereja Sabah bulan lalu juga telah mengecam cadangan hudud dengan menyatakan ia sebagai pengkhianatan amanah kepada Sabah ketika mereka bersetuju membentuk Malaysia bersama Sarawak dan Malaya.

Tiga hari lalu, Organisasi Khidmat Masyarakat Sabah dan Sarawak yang mewakili 33 pertubuhan sivik menuntut satu rundingan semula Perlembagaan jika Kelantan bertegas untuk menguatkuasakannya.

“Najib perlu diingatkan bahawa konspirator UG UMNO tidak harus dibenarkan untuk terus bermain api kerana ia boleh menyebabkan bukan saja perpecahan PR, tapi termasuk BN dan Persekutuan Malaysia,” ulangnya lagi.

Tambahnya, beliau juga berharap Rang Undang-Undang (RUU) persendirian  yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang mengenai Kanun Jenayah Syariah berhubung pelaksanaan hudud tidak akan diperbahaskan dalam sidang Parlimen akan datang.

“Usul persendirian rang undang-undang Hadi tidak muncul untuk diperbahaskan di Parlimen (kali ini) dan ia akan mengalami nasib yang sama dalam sidang Mei nanti, melainkan jika Najib mahu melihat bukan saja perpecahan BN tapi Persekutuan Malaysia,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com