Sastera

Yavakrida dan Ilmu Veda

Epik Mahabharata bukan hanya menyajikan kisah peperangan antara lima orang Pandava dan seratus orang Kaurava. Sebaliknya, ia menampilkan pelbagai ajaran dharma (truth) dalam Sanatana Dharma (Hinduisme) dalam bentuk cerita.

Sebagai sebuah karya yang malar (evergreen) dan tidak hilang ditelan zaman, Mahabharata mengandungi aneka kisah yang tetap boleh dijadikan pengajaran pada masa kini.

Salah satu kisah adalah mengenai watak bernama Yavakrida. Kisah pemuda berkenaan khabarnya diceritakan oleh Lomasa kepada Arjuna dan adik-beradiknya apabila Pandava lima bersaudara berkunjung ke ashram (asrama) milik Raibhya di tebing Sungai Ganges.

Raibhya dan Bharadwaja adalah pendeta dan maharisyi yang bersahabat sejak kecil. Mereka sama-sama mempelajari ilmu Sanatana Dharma dengan mengkaji kitab Veda.

Anak-anak Raibhya bernama Paravasu dan Aravavasu. Mereka tinggal di ashram yang diasaskan oleh Raibhya.

Bharadwaja juga mempunyai sebuah ashram di tebing Sungai Ganges. Anak tunggalnya bernama Yavakrida.

Walaupun Raibhya dan Bharadwaja sama-sama menjadi pendeta dan pakar agama yang disegani, masih ada perbezaan antara mereka. Raibhya dan kedua-dua anak lelakinya mempelajari, mendalami dan mengkaji Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan Atharvaveda.

Sementara itu, Bharadwaja lebih banyak menumpukan kepada meditasi dan upacara pemujaan kepada Tuhan bagi menimba ilmu. Anaknya, Yavakrida juga mengikut cara pendeta berkenaan.

Lama-kelamaan, orang ramai serta golongan sami yang mahu mendalami ajaran Hindu lebih selesa pergi ke ashram milik Raibhya untuk belajar di sana.

Memohon Anugerah Dewa Indra

Perkembangan ini membuatkan Yavakrida terasa cemburu. Dia tertanya-tanya mengapa keluarga Raibhya lebih dihormati berbanding ayahnya.

Bagi mengatasi situasi yang dirasakannya kurang adil itu, Yavakrida memutuskan untuk melakukan pertapaan di tebing Sungai Ganges. Dia melakukan meditasi khas memuja Dewa Indra.

Dipendekkan cerita, Indra muncul di hadapan Yavakrida dan bersetuju untuk memenuhi permintaannya.

“Saya mahu menjadi individu yang paling terpelajar dalam Veda,” pemuda itu menyatakan hasratnya.

“Bukankah kamu boleh mempelajari kesemua empat kitab Veda daripada pakar bidang?” Indra bertanya dengan sedikit hairan.

“Kalau saya perlu berguru kepada pendeta, pasti akan mengambil masa yang lama. Saya juga tentu tidak dapat mempelajari kesemua kandungan Veda secara sempurna dan sepenuhnya,” Yavakrida menjelaskan.

“Jadi, apakah yang kamu inginkan?”

“Saya mahu diberikan anugerah supaya memiliki segala ilmu Veda secara sepenuhnya tanpa perlu membazir masa bertahun-tahun mempelajarinya. Tolonglah penuhi permintaan ini,” kata pemuda itu lagi.

Indra terkedu seketika. Dewa berkenaan tahu tentang keluarga pemuda itu. Indra hairan mengapa dia memilih jalan pintas untuk menimba ilmu Veda, sedangkan orang lain mengambil masa bertahun-tahun.

“Maafkan saya, wahai pemuda. Saya tidak dapat memenuhi permintaan kamu. Tidak ada jalan pintas untuk mendalami ilmu Veda dan ajaran Sanatana Dharma,” Indra menegaskan.

Yavakrida pula yang tergamam pada kali ini. Dia terkejut dan kecewa kerana pertapaannya tidak mendatangkan hasil yang diimpikan. Niatnya adalah untuk segera mendalami ilmu Veda supaya keluarganya akan turut dipandang tinggi seperti keluarga Raibhya.

Sami Tua Membina Empangan

Sejurus kemudian, Indra ghaib daripada pandangan. Walaupun kecewa, Yavakrida tidak mahu berputus asa. Dia meneruskan pertapaannya. Pemuda itu tetap mahu mencari jalan pintas untuk menguasai segala ilmu Veda dan ajaran Sanatana Dharma.

Beberapa hari kemudian, Yavakrida ternampak seorang sami tua di tebing Sungai Ganges. Lelaki itu terbongkok-bongkok mengambil segenggam tanah dan membuangnya ke dalam sungai.

“Apa yang sedang kamu lakukan, wahai sami?” Yavakrida bertanya selepas memperhatikan warga emas itu membuang segenggam demi segenggam tanah.

“Saya mahu membina empangan merentasi sungai ini,” kata sami tua itu tanpa menghentikan kerja.

“Apa?” Yavakrida bertanya dengan penuh hairan. “Janganlah buat lawak di sini. Mana mungkin kamu membuat empangan dengan mencampakkan segenggam demi segenggam tanah ke dalam Sungai Ganges?”

“Kenapa tidak? Apabila empangan ini siap, orang ramai dapat melintas sungai dengan lebih mudah.”

Yavakrida menjelaskan betapa hasrat lelaki tua itu tidak dapat dicapai dengan cara yang sedang digunakan. Mustahil untuk membina empangan dengan cara itu. Niatnya adalah baik tetapi caranya tidak kena.

“Nampaknya kita berdua sama sahaja,” kata lelaki tua itu sambil tersenyum.

Pemuda berkenaan tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh sami itu.

“Bukankah kamu sedang berusaha menguasai lautan ilmu Veda dan ajaran Sanatana Dharma dengan cara mudah juga? Niat kamu adalah baik tetapi cara kamu tidak kena.”

Kata-kata sami tua itu memberi kesedaran kepada Yavakrida. Dia menginsafi kesilapannya. Dia memutuskan untuk menggunakan saluran yang betul untuk menguasai ilmu Veda dan ajaran Sanatana Dharma, iaitu dengan cara berguru.

[ * Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau seorang penulis sepenuh masa.]