Berita

GST: Kita tidak perlu propagandis kekok seperti Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Malaysia bakal menuju ke arah kemelesetan ekonomi berikutan ketidakwarasan dan ketergesaan kerajaan mengenakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tanpa mempedulikan kesannya terhadap rakyat, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Beliau berkata, ketidakwarasan tersebut dengan jelas dapat dilihat apabila Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan sendiri seolah-olah keliru tentang GST dan kesannya terhadap rakyat apabila mengeluarkan kenyataan yang jauh dari realiti.

Menurutnya, sebagai contoh, Ahmad Maslan ketika menjelaskan mengenai GST di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam baru-baru ini telah menggesa pelajar untuk memasak sendiri bagi menjimatkan wang jika mereka merasakan harga makanan terlalu mahal.

“Para pelajar kecewa, Ahmad Maslan jelas telah menghina intelek mereka dan dengan pantas menjawab bahawa memasak dilarang di asrama UiTM.

“Sekurang-kurang mereka berjaya mendedahkan seorang pemimpin UMNO yang berada jauh dari realiti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tegas Chin Tong, apa yang lebih penting, pemikiran Ahmad Maslan juga memperlihatkan bagaimana pemimpin kerajaan termasuk dirinya langsung tidak mempunyai pemahaman makroekonomi.

Jelasnya, pengenalan GST berkuatkuasa 1 April lalu sebenarnya lebih banyak memerah duit rakyat terutamanya rakyat miskin.

“Kira-kira 60 peratus daripada isi rumah Malaysia layak mendapat bantuan BR1M, ini menunjukkan betapa miskinnya sebahagian besar masyarakat apabila kerajaan menyedari kemiskinan mereka dengan memberikan bantuan dan sekarang mereka dikenakan GST pula,” ujarnya.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu turut menyatakan, apa yang lebih buruk, ekonomi Malaysia amat bergantung kepada penggunaan domestik.

Katanya, dengan mengurangkan kuasa beli rakyat, pasaran pengguna domestik akan mengecut dan memaksa negara akhirnya berada dalam kemelesetan.

“Dalam senario ini, mengenakan GST serupa dengan sumber kekayaan atau keuntungan.

“Ia tidak akan masuk akal untuk membayangkan senario terburuk GST bukan sebagai ketakutan besar terhadap inflasi tapi permintaan merudum yang menyebabkan kemelesetan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar Ahmad Maslan yang langsung tidak memahami gambaran makroekonomi dan kesan sebenar GST supaya ditukar portfolionya.

“Kita tidak perlu seorang propagandis kekok seperti Ahmad Maslan. Beliau harus segera dipindahkan ke kementerian lain,” katanya. – Roketkini.com