Berita

Impian Kelantan: 57 buah rumah bakal dipulihkan sebelum Ramadan

GUA MUSANG, 13 APRIL: Demi membantu penduduk Kampung Pasir Tumboh yang masih terjejas teruk akibat banjir besar penghujung Disember lalu, Gabungan Impian Kelantan berikrar untuk memulihkan 57 buah rumah di sana sebelum bulan puasa, kata ADUN Balakong Eddie Ng Tien Chee.

“Setakat ini, lebih kurang 30 buah rumah telah 80 peratus siap dibaiki oleh DAP dan NGO Cakna UT.

“Kami telah menetapkan sasaran untuk menyempurnakan misi tersebut sebelum bulan Ramadan tahun ini agar penduduk kampung boleh menunaikan ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

DSC_9242Pada 10 April lalu, Eddie bersama 11 sukarelawan telah menyertai Misi Kemanusiaan Pasca Banjir selama tiga hari di Kampung Pasit Tumboh, Gua Musang anjuran Gabungan Impian Kelantan bagi memulihkan rumah penduduk di sana.

Gabungan Impian Kelantan adalah merupakan satu gabungan lebih daripada 40 NGO bersama-sama DAP, yang ditubuhkan pada awal tahun ini dengan objektif membantu usaha membantu mangsa banjir di negeri itu.

Beliau turut menyatakan, Gabungan Impian Kelantan sehingga kini telah membelanjakan lebih kurang RM200,000 termasuk kos pemulihan kos rumah-rumah sekitar RM15,000 hingga RM20,000 setiap satu, yang termasuk upah kerja.

“Memandangkan ramai penduduk kampung telah hilang rezeki akibat ladang-ladang getah mereka telah musnah ditenggelami air, pihak gabungan telah mengupah mereka untuk turut sama melakukan kerja-kerja pemulihan.

“Ini adalah supaya mereka dapat menyara hidup seperti biasa di samping memulihkan kampung,” ujarnya.

Rombongan selama tiga hari baru-baru ini juga telah berjaya mengecat tiga buah rumah yang telah siap dibina semula.

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang dalam misi bantuan kemanusiaan ini, tidak kira dari segi kewangan, barangan atau tenaga kerja, boleh menghubungi pihak gabungan melalui email ini [email protected]. – Roketkini.com