Berita

Kerajaan disaran ambil pendekatan baru atasi tekanan kewangan universiti swasta

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Tekanan kewangan universiti swasta di Malaysia boleh diatasi jika kerajaan mengambil pendekatan baru secara menyeluruh menyatukan mereka mengikut bidang kepakaran masing-masing supaya menjadi lebih komprehensif, kata Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, kajian dari Penang Institute mendapati penggabungan institusi ini boleh menjadi penyelesaian kepada kebergantungan kewangan terutama terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN).

Menurutnya, pendekatan baru tersebut haruslah merangkumi peraturan proses tadbir urus dengan melaksanakan pengambilan secara terbuka pelantikan pihak atasan dan mengurangkan pergantungan kepada PTPTN juga harus dikaji dengan lebih mendalam.

“Ini termasuk dana modal, untuk penstrukturan dan pembiayaan semula universiti yang berada di bawah tekanan kewangan.

“Antara perkara lain yang harus dipertimbangkan adalah Model Perkongsian Kampus, seperti projek Iskandar EduCity di Johor, di mana semua kemudahan dibiayai bersama oleh beberapa universiti yang berbeza

“Model Perkongsian Perkhidmatan dalam fungsi pengurusan yang disediakan bersama seluruh institusi atau diserahkan kepada pakar pembekal juga dilihat sebagai satu cara untuk mengawal kos dan meningkatkan kualiti bagi universiti baru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengurus Penang Institute cawangan Kuala Lumpur itu juga menegaskan, pertukaran pengurusan turut perlu dilakukan segera dengan menggantikan Naib Canselor yang berprestasi rendah.

“Pembaharuan perlu dibuat dalam pemilihan dan pemberian ganjaran kepada Naib Canselor dan timbalannya sebagai keutamaan bagi memastikan peningkatan prestasi,” ujarnya.

Data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) baru-baru ini menunjukkan bahawa 46 peratus daripada universiti swasta berada dalam keadaan kewangan amat yang meruncingkan pada tahun 2013.

45 peratus daripada universiti swasta itu juga mempunyai aset yang tidak mencukupi untuk menampung liabiliti semasa mereka.

Masalah tekanan kewangan dalam universiti swasta dilihat semakin terserlah apabila Alliance University College of Medical Sciences (AUCMS) tahun lalu terpaksa ditutup dalam masa singkat biarpun memiliki kira-kira 2,000 pelajar dan 500 kakitangan.

Pemotongan pinjaman PTPTN sebanyak 15 peratus bagi universiti swasta pada November tahun lalu juga dijangka bakal menyebabkan 69.2 peratus dari mereka menghadapi masalah tekanan kewangan, sekaligus memberi kesan kepada 215,000 pelajar. – Roketkini.com