Berita

DAP saran UMNO Selangor hentikan usaha sia-sia teruskan projek KIDEX

PETALING JAYA, 14 APR: DAP menyeru UMNO Selangor untuk menghentikan usaha sia-sia mereka bagi meneruskan projek pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX).

ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin, ADUN Kinrara Ng Sze Han dan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San dalam kenyataan bersama menegaskan, KIDEX tidak boleh diteruskan kerana bukan sahaja terlalu mahal, malah tidak memberikan keuntungan kepada rakyat.

“Kami ingin tegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan Selangor tidak mengambil ringan keputusan membatalkan KIDEX dan berbuat demikian dengan mengenakan tiga syarat jelas kepada syarikat konsesi dengan memberikan tiga bulan untuk mereka memenuhi syarat-syarat tersebut.

“Menteri Besar Selangor Azmin Ali berulang kali mengumumkan bahawa keputusan mengenai KIDEX adalah muktamad dan kami menggesa UMNO Selangor maju ke depan dan tidak lagi mengusulkan untuk meneruskan semula projek KIDEX.

“Usul mereka itu hanya membazirkan masa sidang Dewan Undangan Negeri dan keperluan untuk membenarkan ia dibahaskan,” kata mereka.

Tegas mereka, projek tersebut bukan sahaja tidak menguntungkan pengguna malah tidak mengurangkan purata perjalanan.

“Perkara itu dinyatakan sendiri oleh laporan perundingan trafik KIDEX sendiri iaitu Jacob’s SKM.

“Laporan itu menyatakan bahawa masa purata perjalanan dalam Petaling Jaya hanya akan berkurangan sebanyak 1.3 peratus melalui KIDEX, trafik dari dan ke kesana (Petaling Jaya) juga hanya berkurangan sebanyak 2.6 peratus dan perjalanan lain hanya 0.38 peratus.

“Dalam erti kata lain, selama satu jam perjalanan, pengguna hanya boleh menjimatkan maksimum 90 saat dengan KIDEX.

“Penjimatan seperti ini, jelas sama sekali tidak mewajarkan pembinaan KIDEX, yang tentunya akan menceroboh banyak harta persendirian dan menyebabkan pelbagai pelanggaran garis panduan alam sekitar,” ujar mereka.

Mereka turut mengingatkan mengenai fakta bahawa KIDEX adalah lebuhraya paling mahal dari segi kos per kilometer dalam sejarah negara, dengan harga setinggi RM161 juta setiap kilometer berbanding lebuhraya lain.

“Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berharga RM28.57 juta per kilometer, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) RM33.18 juta per kilometer, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) RM37.68 juta per kilometer, Lebuhraya Pantai Baru (NPE) RM69.39 juta per kilometer dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur RM95.06 juta.

“Jadi mengapa Kerajaan Selangor perlu meluluskan lebuhraya mahal ini, yang langsung tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat,” tegasnya. – Roketkini.com