Berita

DAP Sarawak tubuh pusat khidmat, bela penduduk asal tapak Empangan Bakun

KUCHING, 14 APR: Tindakan kerajaan BN berdegil membina Empangan Bakun sehingga menyisihkan penduduk setempat tanpa pampasan sewajarnya amat tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

“Penduduk Sungai Asap pada asalnya dari kawasan Empangan Bakun tapi ditempatkan semula di Sungai Asap. Penempatan semula ini merupakan permulaan kepada nasib buruk mereka.

“Dasar kerajaanlah yang memutuskan untuk membina Empangan Bakun dan menempatkan mereka di Sungai Asap.

DAP Sg Asap Koyan3“Mereka hanya diberikan tiga ekar tanah setiap isi rumah, manakala syarikat-syarikat kroni mendapat beribu-ribu ekar setiap satu,” katanya.

Atas kesedaran membantu masyarakat Sungai Asap yang ditindas tanpa belas kasihan itu, DAP pada 12 April lalu telah membuka Pusat Khidmat Sungai Asap di Belaga.

Pusat Khidmat tersebut telah dirasmikan oleh Chieng Jen bersama Timbalan Pengerusi DAP Sarawak Chiew Chiu Sing.

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching memberi jaminan, dengan pembukaan pusat khidmat itu, DAP akan berusaha untuk menyelesaikan masalah penduduk.

Tegasnya, kehadiran DAP bukan bertujuan memecahbelahkan rakyat seperti didakwa BN, namun membantu khususnya pendidikan dalam pembangunan politik.

“Kami di sana untuk menawarkan alternarif dan khidmat kami.

“Jika kehadiran DAP dianggap usaha memecahbelahkan rakyat, maka pilihanraya tidak akan wujud.

“DAP percaya kepada pendidikan politik yang konsisten dan perkhidmatan kepada rakyat, terutamanya pada waktu bukan pilihanraya.

“Kami memutuskan untuk menubuhkan pusat khidmat tersebut, yang akan dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penaja Belaga kami iaitu Kenneth Adan Silek,” ujar Chong. – Roketkini.com