Berita

Cadangan penubuhan PSC, Nancy Shukri jangan hanya pandai cakap

KUALA LUMPUR, 15 APR: DAP mempersoalkan kewajaran Datuk Nancy Shukri yang mencadangkan tatacara penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC), sedangkan dia sendiri tidak hadir ketika Pakatan Rakyat (PR) membantah pindaan Akta Hasutan dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, meskipun mengalu-alukan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut, namun persoalannya apakah kesemua 134 Ahli Parlimen BN akan menyokong dan bersetuju dengan penubuhan PSC.

Menurutnya, perkara itu terbukti apabila tidak ada seorang pun dari wakil rakyat BN menyokong usul dibentangkan ahli parlimen PR untuk merujuk beberapa Rang Undang-Undang (RUU) kontroversi kepada PSC..

“Jika Nancy ikhlas dan serius, mengapa dia tidak membangkitkan perkara itu kepada Speaker atau berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen) Shahidan Kassim dan menyakinkan rakan-rakan BN untuk memberikan sokongan kepada penubuhan PSC ke atas POTA serta Akta Hasutan?

“Dengan adanya PSC, RUU itu akan tertakluk kepada penelitian yang lebih terperinci dan perbincangan, pakar-pakar juga boleh dipanggil untuk memberikan pendapat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun kata Nie Ching, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ahli parlimen hanya diberi enam hari untuk mencerna tentang kepentingan POTA apabila ia dibentangkan untuk bacaan pertama pada 30 Mac sebelum bacaan kedua dan ketiga pada 6 April.

Semasa perbahasan POTA pada 6 April, wakil rakyat pembangkang termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj, Zairil Khir Johari (Bukit Bendera), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Ngeh Koo Ham (Beruas) meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merujuk RUU tersebut kepada PSC.

“Tidak ada seorang pn ahli parlimen BN bangun untuk menyatakan sokongan mereka terhadap usul tersebut.

“Lebih mengecewakan lagi, apabila usul bagi merujuk POTA kepada PSC akhirnya dibawa untuk pengundian pada jam 9 malam, ia ditewaskan oleh undi 60-79 dengan semua ahli parlimen BN hadir dan menentangnya

“Tindakan menggubal undang-undang secara terburu-buru dan tidak bertanggungjawab seperti itu telah menjadi perkara biasa oleh BN,” ujar Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu.
Nancy sebelum ini dilaporkan mencadangkan Dewan Rakyat memperkenalkan sistem PSC dan jawatankuasa pembaharuan undang-undang bagi memudahcara kaedah memuktamadkan sesuatu penggubalan akta.

Menurut Nancy, ini kerana sistem sedia ada kurang cekap dan mengakibatkan kesulitan kepada ahli parlimen.

Justeru itu, Nie Ching itu turut menggesa Nancy menyakinkan kepada wakil rakyat BN tentang kepentingan PSC dan demokrasi secara rundingan (deliberative), atau terus ‘dipaksa’ menerima sebarang RUU pada masa akan datang. – Roketkini.com