Berita

DAP cadang tubuh PSC, kaji pindaan Kanun Tatacara Jenayah

IPOH, 15 APR: Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran mencadangkan parlimen menubuhkan jawatankuasa pilihan khas (PSC) bagi mengkaji pindaan Kanun Tatacara Jenayah 2015

Menurut Kula pada 30 Mac, 11 bil baru dibentangkan di Parlimen dan salah satu daripadanya adalah Kanun Tatacara Jenayah (CPC) DR 9/2015 2015 Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015.

Justeru itu katanya, ahli parlimen tidak memiliki masa mencukupi untuk mengkaji secara terperinci berhubung bidang dan kesan dari undang-undang tersebut.

Ujarnya, jadual Parlimen bagi 2015 telah diumumkan dan terdapat pada domain awam semenjak tahun lalu, dan pihak berkenaan bersama pegawai undang-undang seharusnya mengetahui tentang kesuntukan masa bagi membahaskan undang-undang tersebut.

Selain itu kata Kula, terdapat kepincangan yang bertentangan dengan kaedah keadilan asasi, antaranya merujuk kepada pindaan Seksyen 282 yang memerlukan Mahkamah mengenakan hukuman berturut-turut jika seseorang disabitkan dalam satu perbicaraan bagi mana-mana dua atau lebih kesalahan.

“Tak ada sebab bagi mereka untuk memberikan masa yang singkat kepada ahli parlimen untuk mengkaji kesemua 11 bil.

“Kandungan undang-undang itu tidak dibincangkan dengan pihak berkepentingan seperti Majlis Peguam dan badan bukan kerajaan. Mengapa tidak berunding dengan kumpulan ini? soalnya.

Tegas Kula, tindakan itu menunjukkan bahawa Menteri Dalam Negeri seolah-olah mahu menjadikan Parlimen sebagai ‘rubber stamp’ dengan meluluskan pindaan CPC hanya kerana kerajaan memiliki majoriti di Dewan Rakyat.

“Kebanyakan peruntukan pindaan yang dicadangkan amat zalim dan bertentangan dengan nilai-nilai hak asasi manusia.

“Kandungan kepada pindaan itu samar-samar. Peruntukan itu turut meminggirkan kuasa budi bicara hakim dan menceroboh ke dalam wilayah kebebasan mahkamah,” kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu.

Putrajaya pada 8 April lalu menangguhkan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015 untuk bacaan kali kedua dan ketiga susulan ahli parlimen.

Menurut Kula, ini kerana melihatkan kepada ‘pemberontakan’ ahli parlimen BN, termasuk antaranya Ahli Parlimen BN Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin.

“DAP mengalu-alukan penangguhan semula rang undang-undang tersebut.

“Pada masa Jabatan Peguam Negara melalui Jawatankuasa Penggubalan Parlimen merumuskan semua undang-undang, keperluan penubuhan satu Suruhanjaya Undang-undang untuk menggubalnya perlu diberi perhatian dan dilakukan secepat mungkin,” kata Kula. – Roketkini.com