Berita

Pengakuan jenayah terpendam Mahathir, UMNO bakal terima balasan

KUALA LUMPUR, 15 APR: Pihak polis perlu segera memulakan siasatan terhadap pengakuan jenayah berprofil tinggi kerajaan oleh Tun Dr Mahathir agar semua pihak yang terlibat dikenakan hukuman sewajarnya, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.

“Jika polis gagal melakukannya, rakyat perlu bersatu dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang untuk memberi undi kepada kerajaan baru di Putrajaya yang boleh berjanji untuk menyiasat dan membuat semua menteri menerima pembalasan terhadap jenayah yang mereka lakukan kepada rakyat serta negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Steven yang juga Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP (DAPSY) berkata demikian merujuk kepada pengakuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu video temubual berhubung jenayah rahsia UMNO dalam tiga dekad lalu sejak beliau mula berkuasa pada 1981.

Mahathir dalam temubual tersebut memberi amaran jika Pakatan Rakyat berkuasa, ‘mereka akan menggali dan jika mereka menggali, ramai orang boleh didakwa dan didapati bersalah.

Menurut Steven, walaupun pengakuan oleh Perdana Menteri paling lama itu agak terselindung, tapi ia jelas membuktikan terdapat aktiviti haram dan salah laku oleh UMNO.

Katanya, pengakuan itu juga telah disahkan oleh bekas Menteri Penerangan Zainuddin Maidin dalam blognya baru-baru ini bahawa amaran Mahathir kepada Najib adalah secara tidak langsung merupakan amaran untuk diri sendiri.

Zainuddin menyatakan Mahathir yang dianggap sebagai autoritarian akan ditangkap dan ditahan terlebih dulu, kemudian diikuti Najib serta selebihnya diatas pelbagai tuduhan seperti salahguna kuasa, skandal 1MDB dan salah laku lain.

“Apakah jenayah rahsia yang disebut Mahathir dan Zainuddin itu? Apa yang kita tahu tentangnya?

“Sekurang-kurangnya kita tahu empat perkara iaitu, walaupun jenayah ini rahsia dan tersembunyi tapi buktinya wujud dan hanya individu dalam kerajaan mempunyai akses kepada bukti-bukti.

“Apabila berjaya dibongkarkan, ia akan mengakibatkan pemenjaraan individu terlibat termasuk pimpinan tertinggi UMNO seperti Mahathir dan Najib serta mereka yang mengetahui mengenainya seperti Zainuddin Maidin,” ujar Steven.

Tegas beliau, secara khususnya, beberapa dakwaan utama sejak zaman Mahathir hingga Najib adalah seperti peristiwa pembunuhan Memali, Ops Lalang 1987, jenayah kewangan, sehinggalah kepada pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan skandal 1MDB. – Roketkini.com