Berita

ADUN DAP gesa Pengarah Jabatan Hutan dan Pengurus Yayasan Sabah digantung tugas

KOTA KINABALU, 16 APR: Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong, Chan Foong Hin menggesa kerajaan menggantung tugas Pengarah Jabatan Perhutanan dan Pengurus Besar Yayasan Sabah dan siasatan dijalankan terhadap mereka berikutan kegagalan membanteras penyelewengan dalam sektor pembalakan dan pelombongan emas di negeri itu.

Foong Hin dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri Sabah minggu ini berkata, antara isu yang gagal dijawab kerajaan negeri sehingga kini adalah pembalakan berkaitan Tawau Green Energy (TGE), sebuah projek pembinaan loji janakuasa geothermal di Apas Kiri, Tawau, yang disifatkan projek swasta berimpak tinggi.

Namun kerajaan negeri berdalih tentang jumlah balak yang ditebang dan keluasan kawasan pembalakan yang terlibat.

“Saya juga terdengar bahawa, kontraktor penebangan balak menerima bayaran yang tidak selaras dengan isipadu pengangkutan dan berjuta-juta hutang ditunda bayarannya oleh TGE. Saya menggesa audit penuh dilakukan,” kata Foong Hin, dipetik dari ucapan perbahasannya.

Menurutnya, loji tersebut dijangka siap pada tahun 2016, namun hanya 35 peratus sahaja gerak kerja dijalankan sehingga September 2014 dan tiada sebarang kemaskini di laman web rasmi syarikat tersebut selepas bulan Oktober 2014.

“Soalan saya, di manakah telaga geothermal pertama yang memakan belanja USD 6 juta setiap sebuah itu?

“Adakah kemungkinan penebangan balak dilakukan untuk menanggung kos telaga? soalnya.

Foong Hin turut mempersoalkan pembukaan lombong emas di Mt. Wullersdorf, Balung, Tawau, memandangkan sebual lagi lombong timah di Mamut, Lohan masih mengalami pencemaran air Acid Mineral Drainage (AMD) sampai sekarang.

“Tapak perlombongan tersebut pada asalnya merupakan hutan simpan kelas pertama, tetapi diwartakan sebagai hutan kelas kedua pada pindaan Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984, pada persidangan ketiga tahun 2013.

Pewartaan tersebut menyatakan, seluas 720 hektar Hutan Simpan Mt. Wullerdorf Kelas I dan seluas 228 hutan Simpan Ulu Kalumpang Kelas I akan dikeluarkan untuk pembangunan socio-ekonomi.

“Macam mana Jabatan Perhutanan boleh sifatkan aktiviti perlombongan komersil sebagai pembangunan sosio-ekonomi?

“Ini bermaksud, sebelum perlombongan itu mendapat kelulusan EIA (Kajian Kesan Alam Sekitar), projek tersebut telah diluluskan secara senyap, iaitu dengan mewartakan hutan simpan Kelas I yang tidak boleh menjalankan sebarang bentuk kegiatan perniagaan sebagai hutan Kelas II untuk pembangunan sosio ekonomi.

“Apakah ertinya EIA jika semua projek boleh diluluskan (melalui) belakang pintu? soal Foong Hin.

Pada November 2014, DAP Sabah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan berhubung aktiviti pembalakan haram dan penyelewengan Yayasan Sabah (YS) berikutan penemuan 14 bangkai gajah di Hutan Simpan Gunung Rara pada 2013.

Malah, seorang pengurus alam sekitar YS Masturah Sulaiman dipindahkan ke jabatan lain selepas insiden kematian 14 gajah Borneo itu, dipercayai kerana mengetahui terlalu banyak mengenai insiden tersebut.

Justeru itu kata Foong Hin, berbanding ‘Ops Tukul’ yang dijalankan kerajaan Sarawak bagi menyiasat penyelewengan dalam sektor pembalakan, kerajaan Sabah dilihat lemah sehingga masalah tersebut meruncing dan berlarutan.

“Kedua-dua Pengarah Jabatan Perhutanan dan Pengurus Besar YS mesti digantung jawatan supaya siasatan dijalankan,” tegasnya. – Roketkini.com