Berita

Ahli Parlimen DAP bersilaturahim ke Jordan, Mesir

AMMAN, 16 APR: Pada 13 April hingga 15 April lalu, rombongan DAP yang diketuai oleh Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang telah membuat lawatan ke Jordan.

Penolong Setiausaha DAP Zairil Khir Johari berkata, rombongan bertujuan mempelajari dengan lebih mendalam budaya dan dinamik politik Asia Barat khususnya gerakan siasah Islam yang makin berkembang di rantau tersebut.

“Dalam rombongan ini, kami telah berjumpa dan berdialog dengan pelbagai organisasi bukan kerajaan seperti Phoenix Center Jordan dan Debate Foundation, serta tokoh-tokoh ilmiah seperti Dr Mohammad Abu-Rummah daripada University of Jordan dan Dr Fathi Malkawi dari International Institute of Islamic Thought.

“Di samping itu, kami juga berpeluang mengunjungi Kem Pelarian Syria Zaatari berdekatan Mafraq dan diberi taklimat mengenai pengurusan kem tersebut oleh pegawai-pegawai Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

“Kemudiannya, kami dibawa masuk untuk melawat kem yang menjadi tempat tinggal lebih 83,000 orang pelarian Syria dan berkesempatan bertemu serta berdialog bersama kumpulan pelarian,” kata Zairil dalam satu kenyataan.

Antara pimpinan lain yang turut menyertai rombongan tersebut selain Kit Siang dan Zairil adalah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong serta beberapa staf sokongan.

Menurut beliau lagi, pihaknya turut telah mengadakan beberapa sesi perjumpaan bersama pelajar-pelajar Malaysia dari pelbagai universiti di Jordan.

Rombongan hari ini akan diteruskan dengan lawatan ke Mesir sehingga 19 April.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera itu turut menegaskan bahawa pihaknya langsung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan akaun Facebook seperti DAP Mesir yang tiba-tiba diwujudkan untuk memburukkan parti.

“Buat makluman umum, DAP tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan akaun-akaun Facebook seperti ‘DAP Mesir’ dan lain-lain lagi yang tampaknya berniat jahat serta bertujuan untuk memburuk-burukkan lawatan rombongan kami ke Asia Barat,” ujarnya. – Roketkini.com