Berita

Ibarat ‘harimau tak bertaring’ para pesuruhjaya SUHAKAM dicadang letak jawatan

KUALA LUMPUR, 16 APR: Para pesuruhjaya SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) dicadangkan meletakkan jawatan beramai-ramai dengan mengemukakan surat peletakan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai protes atas layanan yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Segambut LimLip Eng berkata demikian merujuk pengakuan Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam semalam bahawa Suruhanjaya terbabit hanyalah merupakan ‘harimau tak bertaring’ sejak ia ditubuhkan pada tahun 2000.

Dalam majlis pelancaran Laporan Tahunan 2014-nya semalam, Hasmy berkata bahawa mereka telah lantang bersuara, namun mereka terikat dan tidak mampu mengejar dan ‘menggigit’ meskipun telah memohon kepada pihak kerajaan supaya diberikan lebih kuasa dan ‘taring’.

“Barangkali apa yang wajar dilakukan oleh para pesuruhjaya SUHAKAM ialah meletakkan jawatan secara beramai-ramai dengan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai protes atas layanan yang diberikan kepada mereka oleh pihak Putrajaya.

“Kedua, saya cadangkan SUHAKAM mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Raja-raja bahawa Putrajaya menyalahgunakan nama ‘Suruhanjaya’ dengan mendakwa kerajaan meminta pendapat SUHAKAM dari semasa ke semasa sebelum sebarang rang undang-undang dibentang di Parlimen, kata Lip Eng dalam satu kenyataan.

Jelas Lip Eng dakwaan tersebut ternyata tidak benar seperti didedahkan oleh Hasmy semalam, walaupun dinafikan Menteri Dalam Negeri Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Zahid mempertahankan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) daripada kritikan SUHAKAM dengan berkata akta itu masih mengekalkan aspek hak asasi manusia.

Kata Zahid, Pengerusi Tan Sri Hasmy ada menulis kepadanya menyatakan persetujuan dengan akta itu sekiranya aspek hak asasi manusia dikekalkan.

Justeru itu kata Lip Eng, memandangkan jelas bahawa SUHAKAM kini tidak relevan dan hanyalah pembaziran wang rakyat,

“Kabinet patut berbincang segera untuk membubarkan SUHAKAM dan diganti dengan ‘Suruhanjaya Pembaharuan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia’ serta mewajibkan konsultasi dengan Suruhanjaya baru ini sebelum sebarang rang undang-undang baru dibentangkan di Parlimen,” ujar Lip Eng. – Roketkini.com