Berita

Operasi banteras PATI oleh ESSCOM jangan ganggu kehidupan harian

TAWAU, 16 APR: Pihak Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) disarankan tidak mengganggu operasi perniagaan sepanjang operasi di kawasan rumah setinggan untuk mengurangkan gangguan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

ADUN Sri Tanjong Chan Foong Hin berkata, DAP Sabah menyokong usaha ESSCOM, namun operasi harus dilakukan dengan meminima gangguan yang boleh menjejaskan kehidupan harian penduduk Sabah, terutamanya di Tawau.

“Berdasarkan data dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri pada tahun 2013, di Tawau, terdapat 4,082 rumah, 8,186 keluarga dan 19,354 penduduk yang menetap di kesemua 25 koloni PATI.

“Antara koloni yang terkenal ialah Batu 14 Jalan Apas, Kampung Sri Aman Batu 3, Kampung Hidayat Batu 4, Kampung Titingan, Kampung Tinagat dan Kampung Wakuba Laut.

“Rasanya, lagi senang ESSCOM melakukan operasi di kawasan rumah setinggan daripada melakukannya di kaki lima kedai,” katanya dalam Ucapan Dasar Kerajaan dalam mesyuarat pertama penggal ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah ke 14.

Cadangan demikian diutarakan Fong Hin berikutan tindakan tidak bertanggungjawab pihak ESSCOM yang mengganggu premis perniagaan atas nama kononnya mempertahankan keselamatan negeri di sana.

Menurut Naib Pengerusi DAP Sabah itu, beliau telah mendapat banyak aduan daripada peniaga berhubung gangguan tersebut apabila pekerja mereka iaitu pendatang asing telah ditahan tanpa sebab di kedai atau tempat kerja.

“Adakah penjenayah atau anasir Abu Sayaf selalu duduk di kedai kopi dan menunggu di sana untuk ditahan oleh ESSCOM? Apakah kumpulan pengganas menyamar sebagai kuli di tapak pembinaan?

“Saya juga mementingkan keselamatan dan kedaulatan negeri ini, masalahnya dengan wujudnya populasi PATI yang tinggi dan signifikan dalam masyarakat, lebih baik kita mengambil pertimbangan dari pelbagai sudut untuk mengatasi masalah-masalah ini,” tegasnya.

Justeru itu, Chan memohon agar masalah pekerja haram diteliti di bawah Jawatankuasa Teknikal Laporan RCI yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Bukan majikan gemar mengupah pekerja haram, tapi sistem levi pekerja asing tidak fleksibel dan memang mereka ini akan pindah kerja walaupun levi setahun dibayar.

“Masalah ‘stateless children’ atau kanak-kanak tanpa warganegara juga harus dikaji secara mendalam oleh Jawatankuasa Teknikal RCI.

“Sebenarnya, saya berasa kecewa kerana tidak ada satu perkataan pun mengenai Laporan RCI dalam ucapan dasar kerajaan kali ini, seolah-olah mahu kita melupakan begitu saja isu kronik tersebut dan ini bukan sangkaan jahat tapi keluhan ikhlas daripada orang yang mencintai bumi di bawah bayu,” ujarnya. – Roketkini.com