Berita

1MDB: DAP minta KPN henti main Twitter, segera siasat Jho Low

KUALA LUMPUR, 17 APR: DAP sekali lagi menggesa pihak polis supaya segera menyiasat jutawan Low Taek Jho berhubung penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, sehingga kini polis masih tetap mendiamkan diri dan langsung tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Low walaupun pelbagai laporan polis telah dibuat termasuk dari UMNO sendiri.

“Adalah amat menyedihkan untuk mengetahui Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) boleh begitu tangkas tanpa belas kasihan menyiasat Twitter pemimpin pembangkang, aktivis masyarakat sivil, ahli akademik dan rakyat biasa, tapi begitu lambat bertindak terhadap seseorang yang boleh merompak wang pembayar cukai warga Malaysia.

“Sehingga hari ini, selepas sebulan laporan telah dibuat, polis masih belum membuat sebarang tindakan untuk menyoal Low.

“Low sendiri telah mengaku kepada media antarabangsa bahawa pihak berkuasa Malaysia sama sekali tidak cuba untuk mendapatkan bantuannya berhubung penyiasatan kes tersebut,” kata Tony dalam satu kenyataan.

Setiausaha Publisiti DAP itu turut mempersoalkan apakah Low adalah individu yang sangat istimewa sehingga tidak boleh ditangkap atau dipersoalkan langsung segala tindakannya.

“Kami menggesa pihak polis berhenti berlengah-lengah dan menjalankan siasatan segera tanpa rasa takut atau pilih kasih

“(Atau) apakah Low tidak boleh disentuh kerana beliau mempunyai hubungan intim dengan Datuk Seri Najib Razak dan ahli keluarganya? soal Tony.

Pada 14 April lalu, Pemuda UMNO telah menyarankan kepada pihak polis agar menyiasat dan mengenakan tindakan terhadap Low jika beliau terlibat dalam penyelewengan 1MDB.

Exco Pemuda UMNO Ibdillah Ishak menyatakan, Low tidak berhak untuk menuduh UMNO memutarbelitkan isu berhubung syarikat pelaburan strategik negara itu dan melabelkan parti ketuanan Melayu tersebut sebagai ‘spin masters’. – Roketkini.com