Sastera

Harum maneh dan sebiji kapsul dari planet tanpa nama

Sudah hampir sejam aku terjaga dari tidur, namun aku sengaja mahu bersikap malas-malasan. Lebih-lebih lagi hari ini adalah hari minggu, di tambah pula isteri aku tiada di rumah. Aku membuat keputusan untuk bangun lewat dari katil, sambil membelek-belek telefon pintar, aku bergolek-golek ke serata daratan tilam.

Sebenarnya telefon pintar ini adalah ancaman terbesar generasi sekarang, ia boleh memutuskan ikatan persahabatan, boleh juga merosakan suasana makan malam dan bermacam benda negatif. Namun begitu bila di fikir balik, orang yang mempunyai sikap tersebut adalah orang yang rendah akhlaknya. Telefon pintar ini jika digunakan sebaik mungkin, kita akan dapat merubah kehidupan kita daripada yang kurang elok bertambah elok. Bahkan ia juga boleh memudahkan kita untuk mengendalikan kehidupan seharian kita. Semua bergantung kepada diri kita masing-masing. Begitu juga jika ada orang berkata “Cis! Cina bukan boleh harap!” “India bukan boleh percaya!”. Jadi Melayu itu baguslah bagi kau?.

Pada lima minit ke sepuluh minit awal, aku begitu asyik bergolek-golek sambil bermain telefon pintar, tetapi lama kelamaan aku berasa seperti sedang melakukan sesuatu hal yang bodoh. Cuba bayangkan, jikalau ada 10 000 orang yang sedang bercuti sekarang sedang melakukan hal yang sama dengan apa yang aku sedang lakukan sekarang, jawapannya sangat banganglah kehidupan tersebut.

Lalu, aku segera bergegas bangun dari katil dan terus ke dapur dengan harapan dapat menikmati beberapa biji donut atau sebungkus pulut ayam untuk sarapan pagi,  namun harapan aku lebur apabila tiada sebarang juadah tersedia. Aku membuka peti ais, terlihat sepaket keropok lekor.

Dengan penuh ketekunan aku mula bertindak, menghiris kecil-kecil lalu memanaskan kuali, minyak dan terus menggoreng. Sementara menanti keropok lekor tersebut masak, aku membancuh sekole milo ais bagi menemani keropok lekor tersebut. Satu demi satu keropok lekor silih berganti berebut untuk masuk ke dalam mulut aku.

Tiba-tiba entah bagaimana dalam pergelutan keropok lekor tersebut untuk berebut masuk, aku tersedak lalu badan aku menggigil. Dan tiba-tiba juga apabila aku tersedar, aku sudah berada di sebuah tempat yang begitu asing, keropok lekor tadi entah ke mana perginya. Tetapi apa yang dapat aku lihat dan rasakan, seolah-olah suasana tempat baru aku ini seperti apa yang pernah aku lakar suatu masa dahulu ketika aku di bangku sekolah rendah, ada kereta terbang, rumah-rumah yang tiangnya setinggi Burj Dubai, dan pelbagai kemajuan yang melampau.

Aku berjalan dari satu bangunan ke bangunan yang lain. Tiba di suatu sudut aku terlihat seraut wajah yang begitu aku kenali. Seorang tokoh politik yang seringkali wajahnya terpapar di kaca television sedang berurusan sesuatu sambil membuka sebuah beg yang berisi pelbagai cip dan wang ringgit. Aku tidak menegurnya, lalu aku berjalan lagi. Tiba di suatu tempat yang seakan sebuah taman. Aku terlihat pula beberapa orang ahli politik dan aku kenal sangat dengan mereka. Mereka pernah terlibat di dalam skandal urusniaga yang melibatkan penyelwengan wang rakyat dalam jutaan ringgit. Mereka seolah sedang berbual-bual tetapi butiran perbualan mereka aku tidak pasti, di sisi mereka ada beberapa ekor haiwan peliharaan, sambil tangan memegang tali, haiwan peliharan tersebut pula lahap meragut rumput. Lapar barangkali. Hal yang sama, aku turut mengabaikan mereka dan berjalan lagi.

Setelah penat berjalan, aku berehat di sebuah kerusi. Cantik, berteknologi dan unik rekaannya. Begitu futuristik! Dengan menekan beberapa punat di tempat letak tangan, skrin seakan hologram terpancar. Aku agak terkial-kial menggunakannya. Tiba-tiba aku terlihat di suatu sudut parkir sekumpulan manusia sedang bertekak. Suara yang menengking dan menggertak tersebut sangat aku kenali. Beliau adalah seorang tokoh politik yang seringkali mencetuskan pelbagai kontroversi, kononya beliau adalah seorang ketua kongsi gelap.

Parkir tersebut bertingkat-tingkat sehingga mencecah menara Telekom tingginya. Dengan tak semena-mena satu pancaran leser datang dari atas dan sosok politikus gengster tersebut rebah. Tiada darah mengalir tetapi sosok tersebut terus ghaib. Aku yang ketakutan terus berlari dan tiba di suatu tempat berkubah. Lantainya bukan lagi marmar, mimbarnya juga bukan lagi kayu jati. Di satu sudut aku terlihat sekumpulan orang berjubah dan berserban sedang berada dalam satu majlis. Aku cuba menghampri. Setiap butir yang dituturkan begitu jelas kukutip satu persatu.

Namun setelah selesai majlis, butiran tadi aku buang di sudut tangga. Kerana tiada satupun butiran tersebut yang boleh aku gunapakai. Sekadar hal-hal lucah dan sembang kosong sambil bergelak ketawa. Aku kecewa.

Aku terus bejalan, tiba-tiba aku terdengar suatu suara. “Lima buah kapsul yang membawa beberapa orang tokoh politik  dari Planet Mildseven menemui kecelakaan selepas berlakunya pertembungan sesama mereka, kesemua penumpang meninggal dan sebuah kapsul yang membawa beberapa orang penting dunia telah dilarikan”. “Sebuah kapsul dilarikan? Ah! Barangkali ini sebuah konspirasi!” Bentak aku seorang diri. Namun akan kecanggihan teknologi tersebut yang entah mana datangnya suara tadi membuatkan aku terpegun. Tiada skrin di mana-mana banggunan untuk aku melihat, hanya terdengar suara sahaja. Rupanya itu adalah siaran berita yang dipancarkan apabila cukup masanya.

Seharian aku di planet tanpa nama. Aku lihat kehidupannya begitu kucar kacir. Pembunuhan, rasuah secara terang-terangan dan pelbagai aktiviti haram berlaku. Tetapi yang menariknya planet ini, tidak aku jumpai seorang pun warga yang berkasta bawahan.

Semua tokoh politik dan orang kenamaan yang berstatus tinggi profilnya sahaja. Aku begitu musykil juga memikirkan hal tersebut, sedang aku mengelamun. Bahu aku disapa. “Engkau buat apa di sini budak? Baju saja sudah tidak terurus! Tunjuk sini identiti kad engkau!” Aku dengan terketar-ketar memberitahu bahawa aku tiada identiti kad, kerana identiti kad aku tertinggal di planet asalku, Planet MildSaven.

Akhirnya aku ditahan dan di bawa ke balai polis. Di soal tentang bagaimana aku boleh sampai ke sini. Setelah mendapat penjelasan  dan memberi penjelasan, aku didapati bersalah kerana  mempunyai dua kesalahan besar. Pertama memasuki planet ini tanpa izin dan kedua aku berada dalam keadaan selekeh. Lalu aku ditahan. Setelah aku mendapat penjelasan semasa disoal siasat tadi.

Mengertilah aku apa yang telah berlaku. Rupanya apa yang terjadi di planet asalku, adalah sebuah rancangan sulit pihak politikus dan orang yang berstatus profil tinggi. Mereka sengaja mencetuskan pelbagai isu, pelbagai skandal, penyelewengan demi mengaut kesenangan untuk membawa ke kehidupan baru mereka di planet tanpa nama ini.

Tiba-tiba aku teringat keropok lekor tadi. Lantas aku memanggil seorang pembantu penjara tersebut lalu bertanya. “Encik pernah makan keropok lekor yang sosnya sepekat minyak gris?” lalu dia menjawab dengan nada yang ganas! “ Pernah! Semasa aku berkidmat sebagai  orang politik di Terengganu dahulu!” ide pertama aku untuk melepaskan diri menggunakan umpan keropok lekor gagal! Hampir tiga jam aku memikirkan bagaimana cara berikutnya. Lalu aku mencuba ide yang kedua.

Aku memanggil lagi pembantu penjara tadi, dan bertanya “Encik pernah makan mempelam harum manis dengan pulut dan santan?” lantas dengan manja serta sopan dia menjawab, “ pernah juga, tetapi 25 tahun dahululah, kenapa awak tanya?” Dengan tersenyum aku membalas, “jika encik mahu menikmatinya lagi, saya boleh mendapatkannya untuk encik, bapak saudara saya memilik 100 pokok mempelam harum manis dan rumah saya tidak jauh dari Padang Besar. Saya boleh dapatkan encik beras-beras pulut siam yang berkualiti tinggi. Tetapi sebelum itu, encik haruslah melepaskan saya dan menyediakan sebuah kapsul untuk saya pulang mengambilnya di planet saya.” Pembantu penjara tersebut seakan berbelah bagi untuk memberi jawapan kerana dia bimbang aku akan melarikan diri dan dia terpaksa menerima hukuman.

Tetapi dengan keupayaan yang ada, aku meyakinkan dia. “Encik tidak perlu khuatir, saya tidak akan melarikan diri. Lagipula saya datang ke sini dengan sendiri. Masakan saya tidak boleh datang untuk kali kedua. Lagipula encik. Mempelam harum manis tiada di sini dan iklim di planet ini tidak sesuai untuk penanaman.”

Akhirnya aku berjaya memperalatkan pembantu penjara tersebut untuk melarikan diri dengan hanya bermodalkan mempelam harum manis. Setiba di Planet MildSaven. Aku lihat kehidupannya sudah berubah dengan ketara. Rupanya sehari aku di sana bersamaan dengan 10 tahun di Planet MildSaven, hari ini 7 March 2025, sepuluh tahun lalu, 7 March adalah hari berdemo, Kita Lawan.. March To Fredoom! Tetapi 7 March 2025 sekarang tiada lagi demo. Kerana politikus-politikus bangsat sudah tiada, kesemuanya sudah berambus ke planet tanpa nama tersebut. Ekonomi kami juga semakin stabil kerana tiada lagi yang mengamalkan rasuah. Cukai-cukai yang menindas rakyat bawahan juga sudah dihapuskan. 7 pusat nuklear yang katanya akan dibina dahulu sudah tiada kerana si bangsat yang membawa projek tersebut kemalangan ketika kapsul yang membawanya ke planet tanpa nama bertembung.

Walaupun parti politik yang ada sekarang baru setahun jagung, namun kebolehan mengurustadbir begitu meyakinkan. Kerana mereka dahulu juga adalah golongan bawahan. Dan mereka juga memperkenalkan beberapa sistem yang dipantau rakyat mereka sendiri. Mereka hidup dengan penuh rukun. Aku? Aku tidak langsung berasa terkilan dengan ketiadaan kemajuan seperti planet tanpa nama tersebut. Untuk apa kereta terbang dan banggunan tinggi kalau kami rakyat terpaksa bermati-matian bekerja untuk menyenangkan politikus-politikus bangsat! Lebih baik berada dalam keadaan tiada yang ada daripada berada dalam keadaan ada yang menjahanamkan! Dan harum manis serta keropok lekor tetap menjadi ingatanku sampai bila-bila. – Roketkini.com