Berita

Isu militan IS : DAP kecam tindakan Jamil Khir perlekeh wanita

GEORGE TOWN, 17 APR: DAP mengecam keras kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memperlekehkan wanita berhubung penyertaan mereka dalam kumpulan militan Negara Islam (IS).

Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata, meskipun IS sememangnya merupakan ancaman, namun Jamil tidak harus membuat kenyataan sedemikian.

“Kepentingan terbaik bagi negara kita sekarang ini adalah mereka yang berada ditampuk kuasa menjauhkan diri dari membuat kenyataan chauvinis dengan merendahkan martabat wanita.

“Melemparkan kenyataan kurang berhemah seperti itu juga amat menyakitkan bagi keluarga mangsa yang terkesan akibat direkrut IS,” kata Syerleena dalam satu kenyataan hari ini.

Jamil semasa perasmian seminar Kelestarian Keselamatan Negara di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) semalam mendakwa bahawa wanita muda kesunyian merupakan golongan yang mudah dipengaruhi untuk menyertai kumpulan IS kerana sifat mereka yang lemah.

Kata Jamil, golongan kesunyian ini banyak menghabiskan masa melayari laman sosial seperti Facebook sehingga lewat malam dan mudah diambil kesempatan untuk direkrut IS.

Tegas Syerleena yang juga Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) Bukit Bendera, kenyataan Jamil hanya memberikan gambaran umum, dan tidak masuk akal untuk menyelesaikan gerakan radikal yang semakin berkembang.

“Radikal adalah proses apabila individu terlalu ekstrim dengan ideologi agama dan sosio-politik.

“Mereka terpengaruh dengan idea yang berbahaya dan akibatnya individu tersebut menolak sebarang tanggapan kebebasan, keadilan sosial dan hak asasi manusia,” ujarnya.

Kajian Radikalisasi dari Pusat Antabangsa di United Kingdom (UK), mengenal pasti tiga sebab utama wanita menyertai IS, iaitu dakwaan penindasan terhadap orang Islam, keinginan menubuhkan negara Islam dengan ideologi tulen dan atas rasa tanggungjawab kepada agama.

Laporan berkenaan juga menganggarkan kira-kira 550 wanita di negara barat pergi ke wilayah yang dikawal IS.

Setakat ini di Malaysia, dilaporkan seramai 173 rakyat Malaysia ditahan kerana menyertai IS dengan penyertaan termuda, seorang gadis berusia 14 tahun.

“Sebab individu menyertai IS adalah berbeza dari satu kes dengan yang lain.

“Setiap kes sangat rumit, dan lebih kepada radikalisasi berbanding mencari cinta, bukannya seperti sindiran Jamil dalam kenyataannya,” kata Syerlena. – Roketkini.com