Wawancara

Karpal, di mata puteri tunggalnya (Bahagian 2)

Kata Sangeet, di waktu mereka berada dalam perjalanan atas tuntutan tugas ke luar Kuala Lumpur, Karpal sentiasa gemar untuk berhenti makan di warung atau kedai-kedai kecil bagi mencuba hidangan yang pelbagai.

“Ayah suka nasi lemak bungkus. Dia mempunyai selera yang sangat mudah. Baju kemejanya juga semua berwarna putih, kecuali beberapa helai baju batik. Di rumah juga dia lebih suka memakai kain sarung. Dia tidak cerewet dengan kasut dan kain bajunya. Itu semua bukan keutamaan baginya.”

Tetapi dalam hal kerja, Karpal tegas dan tidak suka main-main. Tidak boleh kalau kita tidak tahu dan cuba bertanya padanya. Kita sepatutnya tahu sendiri, kemudian baru boleh bincang. “Namun dia seorang mentor yang amat baik. Dia tidak akan buat kita berasa kerdil. Meski tegas bahawa sesuatu tugas itu boleh kita laksanakan sendiri, dia tidak akan lokek untuk membetulkan kita sekiranya kita tersalah langkah.”

“Ada waktunya dia akan meminta pendapat saya tentang sesuatu, tetapi saya pula akan pelik – kenapa nak tanya saya? Saya bukannya tahu banyak.”

sangeet_1Sebagai seorang peguam, Karpal adalah seorang ‘gentleman’ yang sentiasa menunjukkan rasa hormatnya kepada kawan-kawan peguam, tanpa mengira tua atau muda. Beliau juga tidak akan membuli sesiapa.

Bagaikan sebuah kamus bergerak, ingatannya juga sangat kuat. Bagi Sangeet, ayahnya punya banyak alasan untuk berasa megah diri sekiranya beliau mahu, memandangkan pencapaiannya yang begitu hebat dalam bidang guaman. “Tetapi dia sentiasa rendah diri dan sentiasa punya rasa hormat.”

Sedikit berkaca mata anak perempuan Harimau Jelutong ini mengenangkan kekosongan yang telah ditinggalkan oleh wira veteran DAP itu. Meski tidak kerap bertemu mata dengan Karpal ketika membesar, Sangeet tidak merasa terabai.

“Kami faham apa yang beliau perjuangkan. Walaupun pada usia muda kami tak begitu faham, tetapi kami dapat menanggapi apa yang sedang berlaku. Kami memahami bahawa ayah kami adalah seseorang yang mahu membantu orang lain.”

Bagi keluarga, perjuangan Karpal adalah sesuatu yang amat penting, kerana ia memberi kesan kepada semua orang. Justeru itu, perlahan-lahan mereka ikut serta dalam tugas dan perjuangan Karpal demi negara.

Mengenang hari-hari sepanjang 18 bulan Karpal ditahan di Kamunting, Sangeet yang ketika itu berusia sekitar lapan ke sembilan tahun merasakan waktu itu satu tempoh yang aneh sekali. Beliau melihatnya ayahnya dibawa pergi, masuk ke dalam van; sambil beliau yang ketika itu masih tidak tahu apa-apa berpaut pada baju ibunya. Setiap Sabtu mereka akan pergi melawat Karpal yang ditahan di bawah Akta Keselematan Dalam Negeri (ISA) waktu itu.

18 bulan itu berlalu dengan perasaan yang begitu aneh sekali bagi seorang kanak-kanak. “Saya ingat pada hari dia dibebaskan, saya tidak perlu pergi ke sekolah. Saya bangun tidur dan melihat kedua-dua ibu dan ayah saya di hadapan pintu,” katanya sambil menyifatkan pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini seakan suatu deja-vu.

“Ia mengingatkan saya kepada zaman ISA, ketika semua orang sentiasa berada di mahkamah, penuh perasaan tidak selesa, tidak gembira; saya terkenang zaman itu.”

Bercakap tentang ibunya, Sangeet menyifatkan Gurmit Kaur sebagai seorang wanita yang sangat kuat dan tabah. Ibunya sangat bersabar dengan Karpal. “Harus sabar dengan personaliti yang sedemikian,” kata Sangeeet. Mereka saling menguatkan antara satu sama lain. Kerana kekuatan isterinya lah Karpal mampu melakukan segala yang telah beliau lakukan selama ini.

Sejak usia awal anak-anak Karpal telah pun faham bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan negara, dan bahawa mereka punya tanggungjawab untuk mencuba apa terdaya demi memperbetulkan keadaan.

“Ramai yang merasakan ayah saya sentiasa buat masalah, rasis dan sebagainya tetapi itu semua langsung tidak benar. Ada juga yang kata kami anti-Islam. Mengarut betul! Dia tidak akan memandang anda sebagai Melayu, Cina, atau India, tetapi sebagai rakyat Malaysia. Dia akan bersuara demi anda tidak kira apa pun latar kaum anda.”

sangeet_3Bagi Sangeet, ramai yang faham akan hal ini. Namun ada dari kalangan mereka yang enggan memahami lalu menghukum mendiang Karpal dengan pelbagai label. Namun perjuangan demi politik yang menjauhi perkauman telah ditilik oleh Karpal dan juga Lim Kit Siang sendiri lebih empat puluh tahun lalu.

“Perkauman dijadikan alat untuk memecahbelahkan kita. Mereka telah menjangkakannya awal-awal lagi. Dan DAP sebagai parti yang tidak berasaskan perkauman, walaupun apa yang orang kata, telah memperjuangkan politik yang semacam ini.”

Kini setelah Karpal tiada, Sangeet merasakan akan ramai lagi mara ke depan dan menyuarakan pendapat, kritikan dan bantahan masing-masing bagi mengisi kekosongan yang beliau tinggalkan.

“Seperti kata ayah saya, ‘Kamu kalahkan satu Karpal Singh, ribuan Karpal Singh lain akan bangkit’. Benar sekali kata-kata itu.

Pada hari-hari sebelum pengkebumian, rumah keluarga mereka di Pulau Pinang menerima kunjungan ribuan orang ramai dari setiap lapis masyarakat yang telah tersentuh oleh Karpal dan khidmatnya kepada rakyat.

“Tidak ada membeza-beza dan mengasing-asing; semua orang sama. Ia begitu indah sekali. Kami menerima hakikat bahawa ayah kami milik semua orang, tanpa mengira kaum dan agama.”

Tanggal 17 April ini genap setahun mendiang Karpal Singh meninggalkan kita serta mewariskan perjuangannya yang belum selesai, ke arah membina semua negara yang adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama. Semoga kita semua menggalas tanggungjawab tersebut dengan penuh bersemangat. – Roketkini.com