Berita

Mufti cadang orang Islam dikecualikan GST, bukti rakyat terbeban

KUALA LUMPUR, 17 APR: Gesaan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad supaya kerajaan ersekutuan mengecualikan umat Islam daripada membayar GST petunjuk jelas bahawa cukai tersebut sememangnya membebankan rakyat.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng merujuk cadangan Zulkifli mengecualikan warganegara beragama Islam daripada membayar GST kerana mereka sudah melunaskan zakat.

“Ini memberi isyarat jelas bahawa kerajaan UMNO-BN menerima tekanan hebat daripada golongan Melayu Islam yang merasa terbeban dengan cukai baru ini, sehinggakan perlunya seorang mufti tampil untuk memohon pengecualian,” kata Lip Eng dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya ,pengenalan cukai tanpa mengira kadar pendapatan itu turut dirasai teman-teman bukan Melayu Islam, sekaligus membuktikan pendirian DAP adalah benar bahawa GST sememangnya membebankan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Tegasnya, keberhasilan negara boleh diperbaiki sekiranya pihak kerajaan lebih cermat mengurus kewangan negara dan tidak berbelanja sesuka hati, selain menampung ketirisan akibat korup dengan pembanterasa rasuah yang lebih tegas.

“Mencukai rakyat sepatutnya menjadi jalan terakhir dan bukannya pilihan pertama yang membebankan rakyat demi menampung ketidakcekapan kerajaan mengurus dana.

“Bukan saja umat Islam yang membayar zakat patut dikecualikan daripada membayar GST, malah seluruh rakyat tidak harus dibebankan demi menampung perbelanjaan boros Kerajaan UMNO-BN,” ujar Setiausaha DAP Kuala Lumpur itu.

Zulkifli dalam laman Facebook ‘Mufti Wilayah Persekutuan’ semalam membuat cadangan demikian berikutan umat Islam sudah melunaskan zakat seperti yang telah disyariatkan Islam.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengurangkan kadar 6 peratus GST sedia ada mengikut kemunasabahan dan kemampuan rakyat kebanyakan pada masa kini.

Katanya, masyarakat Islam yang membayar zakat tidak lagi dikenakan GST atau satu kaedah khusus diwujudkan agar tidak berlaku dua kali pembayaran sehingga terbeban umat Islam itu sendiri. – Roketkini.com