Berita

Kerajaan perlu perkenal dasar penentuan harga ubat dan penjagaan kesihatan

KLANG, 19 APR: Kerajaan perlu memperkenalkan dasar penentuan harga dan sistem pemantauan bagi memastikan harga ubat-ubatan berpatutan dan serendah mungkin, seiring Dasar Ubat Nasional (DUNAS) 2009-2011.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dalam satu kenyataan hari ini berkata, penyediaan harga ubat-ubatan berpatutan rendah kepada rakyat adalah kewajipan kepada mana-mana kerajaan.

Ujarnya, usaha perlu dilakukan untuk menghapuskan segala bentuk duluan perolehan ubat-ubatan kerajaan oleh kroni, selain menghapuskannya daripada menggunakan pengaruh politik untuk memperolehi projek-projek penswastaan yang menjurus kepada peningkatan harga ubat.

“Salah satu cabaran terbesar rakyat Malaysia ialah akses kepada penjagaan kesihatan yang berpatutan.

“Harga ubat dan perkhidmatan perubatan lain, termasuk kemasukan ke hospital, semakin di luar jangkauan kelas menengah dan rakyat Malaysia yang miskin. Pengenalan GST telah meningkatkan lagi kos penjagaan kesihatan,” kata Charles dalam satu kenyataan.

Sebagai contoh katanya, seorang penghidap HIV membayar RM 2,190 dikenakan RM130 bayaran GST (cukai barangan dan perkhidmatan) setiap bulan.

“Ini tidak termasuk kos rawatan perubatan dan ubat-ubatan untuk pesakit kanser dan penyakit lain seperti kencing manis, kesihatan mental dan tekanan darah tinggi yang tinggi di negara ini,” tamah Charles.

Menurut Charles, dalam satu taklimat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wahid Omar berkata, kerajaan dalam merangka RMK-1 akan menangani kemiskinan dari pelbagai perspektif dan dimensi, termasuk pendapatan, akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan keadaan kehidupan.

“Usaha kerajaan dialu-alukan, kerana langkah ini berbeza daripada pendekatan pekali Gini dan kaedah lain dalam menangani kemiskinan.

“Namun, adakah kerajaan mempunyai keazaman politik untuk melakukan perubahan struktur bagi memastikan penjagaan kesihatan yang berpatutan untuk rakyatnya?, soal Charles.

Menurut Kajian Perbandingan Harga Runcit Ubat Antara Utara Malaysia dan Australia pada 2012 mendedahkan isu-isu yang wajar ditanggapi Wahid, sebelum menganggap dirinya sebagai pemimpin Unit Perancang Ekonomi dalam menangani pertalian antara akses kepada penjagaan kesihatan dan kemiskinan.

Kajian tersebut membandingkan harga runcit sepuluh ubat-ubatan preskripsi yang paling banyak digunakan di Utara Malaysia dan Australia dan menemui harga runcit ubat-batan di Pulau Pinang 14,828 peratus lebih tinggi daripada harga runcit di Australia.

“Kajian turut menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membayar lebih berbanding mereka di negara membangun. Ini kerana Malaysia tidak mempunyai peraturan penentuan harga ubat, yang meletakkan had ke atas harga dan keuntungan firma farmaseutikal, seperti di Australia.

“Di samping itu, kajian menunjukkan bahawa farmasi runcit di Malaysia mengambil untung kira-kira 25 hingga 38 peratus ke atas jenama inovasi, dan 100-140 peratus ke atas ubat generik.

“Manakala akses untuk perubatan di Malaysia lebih mahal berbanding negara-negara membangun lain, seperti India dan Sri Lanka,” ujar Charles.

Kajian turut menyatakan bahawa usaha kerajaan untuk menswastakan hospital awam bagi sistem pengedaran ubat membawa kepada peningkatan 30 peratus kos perubatan.

Tambah Charles, artikel sama menyatakan bahawa ‘ekonomi pasaran bebas’ dalam pengurusan ubat-ubatan di Malaysia meletakkan monopoli jualan di tangan pengilang, pengedar, doktor dan ahli farmasi.

“Ternyata kepentingan perniagaan dan keuntungan menguasai semua peringkat, dari pengeluaran hingga pengedaran mengakibatkan harga ubat lebih tinggi.

“Justeru itu, cabaran tersebut perlu dihadapi Wahid, kerana beliau yang merancang untuk menangani akses kepada penjagaan kesihatan dan kemiskinan di negara ini,” tegas Charles. – Roketkini.com