Sastera

Pendeta dan nafsunya

Walaupun menguasai ilmu agama yang tinggi, nafsu serakah boleh menyebabkan seseorang musnah dalam hidup.

Yavakrida berguru sehingga menjadi pakar ilmu Veda dan ajaran Sanatana Dharma. Keempat-empat Veda iaitu Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan Atharvaveda sudah dikuasainya.

Dia merupakan anak tunggal kepada Bharadwaja, seorang pendeta dan maharisyi yang mengendalikan sebuah ashram (asrama) bagi pengajian agama Hindu di tebing Sungai Ganges.

Rakan kepada Bharadwaja bernama Raibhya iaitu seorang pendeta dan maharisyi yang amat disegani ramai. Anak-anak Raibhya bernama Paravasu dan Aravavasu.

Ilmu yang berjaya dikuasai oleh Yavakrida membuatkan pemuda itu menjadi sedikit bongkak.

“Kau perlu sentiasa beringat bahawa segala ilmu yang dimiliki adalah anugerah Tuhan. Jangan sesekali berasa sombong dan angkuh dengan ilmu di dada,” pesan Bharadwaja pada suatu hari.

Yavakrida hanya ketawa mendengar nasihat bapanya. Pada pendirian pemuda itu, dia berjaya menguasai segala ilmu Veda dan ajaran Sanatana Dharma atas usaha dan kehebatan diri sendiri.

Walaupun dia seorang pendeta yang menguasai Veda, sikap angkuh membuatkan jiwanya mudah dikuasai unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Sanatana Dharma.

Pada suatu hari, Yavakrida sedang berjalan-jalan di tebing Sungai Ganges. Terdapat kawasan yang dipenuhi tumbuhan liar di sana. Terdapat juga pokok-pokok bunga liar tumbuh di sana.

Secara kebetulan, isteri kepada Paravasu sedang memetik bunga-bunga liar di sana. Sebaik sahaja terpandang wanita itu, nafsu Yavakrida mula membuak. Tambahan pula, dia belum pernah melihat wanita berkenaan.

“Wahai si jelita. Sudikah menemani saya untuk seketika untuk memenuhi keinginan dan kemahuan di hati?” Yavakrida bertanya seraya merangkul lengan wanita itu.

Isteri Paravasu terperanjat. Rupa wajahnya dalam keadaan terkejut membuatkan Yavakrida semakin bernasfu.

“Maafkan saya, wahai pendeta. Saya isteri orang. Saya perlu pulang segera,” katanya, lalu bergegas untuk kembali ke ashram milik bapa mentuanya, Raibhya.

Memiliki isteri orang secara paksa

Pemuda itu mula sedar bahawa wanita berkenaan tentulah isteri kepada Paravasu atau Aravavasu. Secara spontan, dia terasa semakin bernafsu untuk memiliki wanita tersebut sebagai suatu cara untuk membuktikan bahawa dia lebih hebat daripada Paravasu dan Aravavasu.

Isteri Paravasu sudah mula berlari untuk pulang. Akan tetapi, Yavakrida yang sudah dikuasai nafsu tidak mahu melepaskan peluang. Wanita yang tidak berdaya itu dimilikinya secara penuh paksa.

Beberapa jam kemudian, Raibhya yang sedang berjalan pulang ke ashram terdengar suara tangisan seorang wanita di dalam semak. Betapa pendeta itu terkejut apabila menyedari mangsa rogol berkenaan adalah menantunya.

Sebaik sahaja mendapat tahu kisah penuh, Raibhya terasa amat marah. Apatah lagi Yavakrida seorang pendeta yang mendalami ilmu Veda dan ajaran Sanatana Dharma.

Raibhya segera mencabut sehelai uban dari kepalanya. Sebaik sahaja suatu mantera dibaca, rambut itu bertukar menjadi seorang wanita yang amat jelita. Sehelai lagi uban dicabut dan selepas mantera dibaca, ia bertukar kepada hantu yang menggerunkan.

Wanita jelita itu pergi menemui Yavakrida di ashram milik Bharadwaja. Pemuda itu tidak mampu khusyuk dalam meditasi kerana masih terkenang-kenang akan nikmat yang dikecapinya secara paksa daripada isteri Paravasu.

Sebaik Yavakrida terpandang seorang wanita jelita melangkah masuk ke ashram, nafsunya kembali memuncak. Dia berkira-kira mahu memiliki wanita itu juga.

Akan tetapi, tiba-tiba muncul pula hantu yang menggerunkan. Oleh kerana mindanya dipenuhi nafsu dan fikiran negatif, Yavakrida tidak dapat memikirkan mantera bagi melindungi dirinya.

Dalam keadaan kelam-kabut, pemuda itu cuba melarikan diri. Namun begitu, hantu berkenaan pantas mengejarnya. Yavakrida cuba merayu supaya tidak diapa-apakan.

Tanpa sebarang rasa belas kasihan, hantu yang dihantar oleh Raibhya segera membunuh Yavakrida.

Demikianlah kisah seorang pemuda yang berjaya menjadi pendeta yang menguasai ilmu Veda dan ajaran Sanatana Dharma. Akan tetapi, jiwa yang kotor dan tercemar membawa kepada kemusnahan diri sendiri.

Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau seorang penulis sepenuh masa