Berita

“Sokong pindaan Akta Hasutan, Gerakan sudah hilang akal?”

KUALA LUMPUR, 19 APR: Tindakan bermatian-matian Ahli Parlimen Simpang Renggam dari Gerakan Liang Teck Meng mempertahankan kelulusan pindaan Akta Hasutan jelas menunjukkan bahawa beliau dan partinya sudah hilang keupayaan menilai mana yang baik dan mana yang buruk.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming menyelar kenyataan Liang semalam mempertahankan kelulusan pindaan Akta Hasutan dengan mendakwa jika BN mampu menunjukkan kepada rakyat kebaikan pindaan tersebut, DAP akan ditumbangkan pada pilihanraya akan datang.

“Gerakan ternyata sangat naif untuk berfikir bahawa pindaan Akta Hasutan tidak akan disalahguna dengan rekod kerajaan beberapa tahun lalu.

“Liang ini sama ada buta, pekak atau kedua-duanya jika dia berfikir bahawa pindaan Akta Hasutan yang dicadangkan dengan tekad yang baik.

“Pengundi tentunya akan bertindak untuk mengingati akta ini pada PRU akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Liang membuat kenyataan tersebut sebagai respon kepada gesaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony baru-baru ini yang menggesa pengundi menghukum Ahli Parlimen BN yang menyokong pindaan Akta Hasutan.

Kata Kian Ming, amat menyedihkan melihat Gerakan telah jatuh dalam percubaan jijik untuk mempertahankan pindaan Akta Hasutan.

“Apakah atas semangat tekad yang baik menyebabkan kerajaan mendakwa kartunis Zunar dengan sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan kerana kartun beliau mengkritik keputusan kehakiman dalam kes sabitan liwat Anwar Ibrahim?

“Apakah semangat yang sama itu juga telah membawa kepada penahanan dan siasatan polis terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar kerana ucapan beliau di Dewan Rakyat yang mengkritik badan kehakiman?

“Adakah semangat yang sama ini telah membawa kepada penahanan semalaman dan caj di bawah Akta Hasutan terhadap empat wartawan The Malaysian Insider dan The Edge Media Group?” soal beliau.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu turut mempersoalkan apakah Liang tidak tahu bahawa wujud amalan pilih kasih pihak berkuasa di Malaysia apabila tidak ada sebarang tindakan dibuat ke atas pimpinan UMNO-BN termasuk bekas pemimpin mereka.

“Adakah Liang tidak sedar bahawa tidak ada tindakan diambil terhadap Ibrahim Ali walaupun dia mengugut untuk membakar secara terbuka salinan Al-Kitab (Injil)?

“Adakah dia tidak membaca bagaimana Menteri Pertanian Ismail Sabri diberi layanan VIP apabila dibenarkan memberikan kenyataan kepada polis melalui telefon atas status Facebook yang meminta orang Melayu memboikoit perniagaan masyarakat Cina?

“Bagaimana pula dengan bekas Timbalan Menteri Mashitah Ibrahim? Beliau juga diberikan layanan VIP setelah beliau membuat tuduhan tidak berasas kononnya orang Cina telah membakar Al-Quran di Kedah?” tanya Kina Ming lagi. -Roketkini.com