Berita

Penyokong Akta Hasutan dicabar nyata pendirian

KUALA LUMPUR, 20 APR: DAP menyeru penyokong Akta Hasutan menyatakan pendirian mereka, sama ada tindakan perlu diambil terhadap sekumpulan individu yang mendesak lambang salib diturunkan di Taman Medan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, kerajaan dan polis gagal bertindak selain membisu terhadap sekumpulan individu yang mendesak lambang salib diturunkan di Taman Medan.

“Ini kerana, ahli-ahli Parlimen BN mempertahankan akta tersebut atas alasan ia akan digunakan untuk menangani isu-isu sebegini.

“Jika sebaliknya berlaku, di mana orang bukan Islam membantah pembinaan surau atau masjid, tidak ada keraguan bahawa pihak berkuasa akan bertindak segera,” kata Tony dalam satu kenyataan.

Tony merujuk tindakan kira-kira 50 individu yang membantah penggunaan lambang salib di sebuah gereja di Taman Medan sewaktu upacara mingguan gereja terbabit berlangsung kira-kira jam 10 pagi semalam.

Bantahan semalam dianjurkan atas alasan tanda salib itu mencabar akidah dan kepercayaan majoriti penduduk kawasan itu yang beragama Islam.

Akhirnya pihak gereja bersetuju menurunkan lambang salib yang dipasang pada tingkap gereja yang terletak di tingkat dua sebuah bangunan rumah kedai.

Tony yang juga Pengerusi DAP Selangor menegaskan, pindaan Akta Hasutan yang dicadang dan diluluskan BN sepatutnya khusus menangani kes seperti ini dengan menghukum sesiapa yang berniat jahat dan menyebar kebencian atas alasan agama.

“Isu yang lebih besar di sini adalah, jika kerajaan tidak melindungi hak minoriti, pihak majoriti akan menjadi pembuli besar dan bertindak terhadap orang lain yang sekadar mengamalkan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan,” tegas Tony – Roketkini.com